Berita

PI cawangan KL amal dasar pintu terbuka, alu-alukan buah fikiran orang ramai

KUALA LUMPUR, 26 FEBRUARI: Badan pemikir Pulau Pinang, Penang Institute (PI) yang membuka cawangan pertama di ibu negara dengan azam berkhidmat kepada rakyat berharap mendapat maklum balas dan pembabitan semua pihak dalam merangka dasar yang lebih baik untuk negara.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika merasmikan pembukaan cawangan baru PI di Rumah Pulau Pinang, Jalan Semantan, di sini, berkata penubuhan cadangan institut itu adalah untuk berkongsi semangat mengejar kecemerlangan bersama warga di luar Pulau Pinang.

“Kami mahu dasar difikirkan secara mendalam serta mendapat maklum balas orang ramai.

“Penang Institute akan mengamalkan dasar pintu terbuka dan mengalu-alukan sumbangan buah fikiran daripada masyarakat,” kata Setiausaha Agung DAP itu pada sidang media selepas perasmian itu.

Pengurus PI Cawangan Kuala Lumpur, Dr Ong Kian Ming pula memberitahu media bahawa program awal PI setakat ini bakal membabitkan sessi meja bulat untuk membincangkan isu dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berharap komuniti pendidik dapat turut sama dalam program itu dan berkongsi pandangan bersama PI.

Dr Ong, seorang ahli akademik yang juga Ahli Parlimen Serdang akan bergandingan dengan Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari yang dilantik felo institut itu merangkap Ketua Penyelidikan PI Kuala Lumpur.

Turut hadir pada sidang media itu ialah CEO Penang Institute, Zairil Khir Johari bersama-sama Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim yang juga SEO Penang Institute serta Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong. – Roketkini.com