Berita

Dari Tanjung ke Kuala Lumpur: Penang Institute buka cawangan baru

KUALA LUMPUR, 27 FEBRUARI: Akhirnya Pulau Pinang berada di Kuala Lumpur, dan ia akan membantu merangsang negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tingggi serta berinsentifkan pengetahuan ekonomi, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penubuhan cawangan Penang Institute (PI) di Jalan Semantan, Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, PI juga turut akan memainkan peranan penting dalam melibat dan menghubungkan semua rakyat untuk mewujudkan kesepakatan serta berkongsi pengalaman kejayaan Pulau Pinang di pentas nasional.

“Semua rakyat mahukan perubahan dan tidak hanya eksklusif di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur. Jadi ‘change makers’ (pembuat perubahan) tidak boleh hanya sekadar tertumpu kepada mengeluarkan ide-ide yang bukan sahaja baru, tetapi harus juga praktikal.

“Perubahan hanya boleh berlaku dengan dasar-dasar pragmatik dan dasar berorientasikan tindakan yang dapat membuat perbezaan dalam kehidupan mereka.

“Rakyat hanya memahami urus tadbir baik jika mereka sendiri dapat melihat, menyentuh dan merasa peningkatan dalam penyampaian awam terutama yang membolehkan mereka mendapat faedah ekonomi sebenar,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian tadi.

Setiausaha Agung DAP itu turut berbesar hati mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming sebagai Pengurus serta Dr Aziz Bari sebagai Ketua Penyelidik dan Fello PI cawangan Kuala Lumpur.

“Kian Ming merupakan seorang cendekiawan dengan kelayakan akademik cemerlang. Beliau telah memperoleh PhD dari Universiti Duke; Sarjana Falsafah (Universiti Cambridge) dan Ijazah Sarjana Muda, London School of Economics.

“Pelantikan Aziz Bari yang merupakan pakar dalam bidang perundangan dan Perlembagaan bersama Kian Ming tentunya akan membantu PI Kuala Lumpur berkembang serta dapat mencari ‘change makers’ yang dapat menyumbangkan sesuatu selaras dengan slogan ‘Making Ideas Work’,” ujarnya.

Turut hadir meraikan perasmian itu ialah pimpinan Pakatan Rakyat antaranya Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin; Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; dan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh.. – Roketkini.com