Berita

CEC kekal keputusan Jawatankuasa Disiplin gugur keahlian Adun Pujut

KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI: DAP sentiasa tegas kepada mana-mana ahli yang gagal mematuhi Perlembagaan parti, tanpa mengira kedudukan atau jawatan yang dipegang.

Justeru, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengekalkan keputusan Jawatankuasa Disiplin pada 17 November lalu, yang menggugurkan keahlian parti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut, Fong Pau Tek.

Ia ditetapkan dalam satu mesyuarat pada 26 Februari lalu selepas mengambil kira pelbagai aspek.

Fong dilucutkan keahlian kerana melanggar Fasal IV Perenggan 12 (a) yang antaranya menyatakan:

“(Ahli yang menjadi Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Pihak Berkuasa Tempatan)…untuk mencarum kepada dana parti, sebahagian gaji atau elaun sebagai ahli pihak berkuasa tempatan, DUN atau Parlimen, di mana jumlah caruman hendaklah ditentukan daripada semasa ke semasa oleh CEC.”

Sebelum ini, bekas Adun Teratai, Janice Lee turut digugurkan keahliannya, kerana bertanding sebagai calon bebas pada PRU-13 selepas namanya digugurkan sebagai calon di kawasan berkenaan. -Roketkini.com