Berita

Anwar mungkin kalah di Kajang jika Pakatan tak bersatu

KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI: Lim Kit Siang hari ini mengulang seruan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

“(Kita perlu anggap) Majoriti kecil adalah satu kekalahan. Kita mesti sasarkan satu kemenangan bersejarah, yang akan membuka pencapaian dan kejayaan yang lebih besar untuk tahun-tahun akan datang,” kata Ketua Parlimen DAP itu dalam satu kenyataan.

Menurut beliau PRK Kajang adalah yang paling penting dalam sejarah Malaysia kerana ia bukan hanya penentu masa depan Kajang dan Selangor, malah seluruh negara.

“Ia bukan sekadar tentukan siapa yang akan menjadi wakil di Dewan Undangan Negeri serta corak kepimpinan dalam politik Selangor, malah paling penting, corak politik di Putrajaya.

“Maka, ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat perlu memastikan kemenangan besar Anwar, yang pasti akan memberikan mesej bahawa (kerajaan pusat) Putrajaya sedang menunggu perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya lagi.

Dalam wawancara bersama Roketkini dua hari lalu, Karpal menggesa jentera DAP agar berusaha ‘berhabis-habisan’ bagi memastikan Anwar mendapat majoriti besar pada PRK itu nanti.

Anwar bakal berhadapan Naib Presiden MCA, Chew Mei Fun dan kemungkinan besar bekas Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim pada 23 Mac nanti.

Sehubungan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah itu meminta PKR, PAS dan DAP bersatu padu bagi mencapai matlamat itu.

“Ada kebimbangan melihat perkembangan Pakatan dan PKR di Selangor kebelakangan ini. Musuh sebenar Anwar bukan calon BN atau pun Bebas, tetapi perselisihan dalaman parti.

“Kita perlu sentiasa ingat pesanan (bekas Presiden Amerika Syarikat) Abraham Lincoln: A house divided against itself cannot stand,” yang secara mudah membawa maksud, bersatu teguh, bercerai roboh.

Justeru beliau menggesa ketiga-tiga parti supaya segera menyelesaikan sebarang masalah yang ada dan mengenepikan perbezaan agar tidak menjejaskan kemenangan pada PRK itu, yang boleh menutup sebarang peluang perubahan politik daripada berlaku. – Roketkini.com