Berita

“Malaysia hak Melayu”: Tuntutan ISMA jahil, langgar Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari menganggap tuntutan Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) agar masyarakat antarabangsa mengiktiraf Malaysia sebagai hak Melayu adalah jahil dan menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kenyataan itu bertentangan dengan Perlembagaan yang menekankan semua rakyat Malaysia memiliki hak yang sama.

“Malaysia adalah sebuah persekutuan yang terbina berasaskan Perlembagaan. Itulah ‘kontrak sosial’ negara kita. Kenyataan itu jelas tidak menghormati Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, beliau berkata, ia juga tidak menghormati masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak, yang sememangnya merupakan penduduk asal negeri berkenaan.

Beliau mengulas tuntutan yang dibuat Naib Presiden II ISMA, Abdul Rahman Dali dua hari lalu yang memetik sebuah kajian kononnya genetik Melayu wujud lebih awal daripada genetik Cina dan India di rantau ini.

Mengikut laporan Sinar Harian, Abdul Rahman juga membandingkan Malaysia dengan negara yang tidak berbilang kaum menyatakan, “dunia iktiraf China adalah hak warisan orang Cina, India hak orang India dan Jerman untuk orang Jerman.”

Bagaimanapun, Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, Malaysia lebih mirip kepada Amerika Syarikat (AS) daripada segi kemajmukan rakyatnya.

“Malaysia negara majmuk seperti AS. AS dimiliki rakyatnya, bukan oleh kaum tertentu. Sama juga seperti Malaysia yang dimiliki semua warganegara.

“Malah, di China dan India sendiri ada pelbagai suku. Dalam masyarakat Melayu juga ada kerencaman yang sangat menarik,” katanya.

Katanya lagi, beliau menghormati hak ISMA untuk berbeza pendapat, namun berharap agar NGO itu tidak mengeluarkan kenyataan yang jumud dan berbau hasutan.

“Jika tidak setuju (dengan Perlembagaan), itu hak mereka untuk berpendapat. Tetapi jangan gunakan sentimen perkauman untuk melaga-lagakan rakyat,” ujarnya. -Roketkini.com