Berita

Catuan bekalan air, bukan hanya sebab kemarau – Dr Boo

KLUANG, 3 MAC: Kekurangan bekalan air di tiga daerah di Johor  kini memerlukan catuan bukan hanya disebabkan cuaca panas atau musim kemarau sebaliknya berpunca daripada salah urus sumber airnya.

Ketua Pembangkang DUN Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata, kes seperti itu sudah berlaku pada 2005 dan 2010 dan kini ia berulang lagi membabitkan kawasan tengah Johor iaitu Kluang, Yong Peng dan Batu Pahat.

Dalam kenyataan medianya selepas bertemu Ketua Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ), Jamaluddin Jamal di Pejabat SAJH baru-baru ini, Dr Boo menyifatkan punca sebenar masalah ini kerana berlakunya kemusnahan hutan di sekitar kawasan takungan dan sumber air.

Antara punca kemusnahan itu adalah akibat aktiviti pertanian yang dijalankan secara haram di kawasan tadahan air seperti di kawasan rizab hutan di Bekok, Sembrong dan empangan Machap.

Beliau juga mencadangkan kerajaan negeri segera mewartakan kawasan itu sebagai kawasan rizab hutan simpan bagi membolehkan kerja perlindungan, pengawalan dan pemulihan dapat dijalankan, seterusnya memastikan sumber bekalan air mencukupi walaupun pada musim kemarau.

Di Johor, terdapat lapan kawasan diwartakan kawasan tadahan air sebagai hutan simpan kekal iaitu Gunung Pulai, Juaseh, Chongok, Labong, Pontian Kecil dan Upper Layang.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Johor menerusi SAJH mencatu bekalan air bersih kepada penduduk kawasan Kluang. Ia membabitkan ramai pengguna.

“Kami juga mencadangkan kerajaan negeri agar menjadikan empangan Semborong, Bekok dan Machap sebagai takungan air dwi tujuan iaitu sebagai sumber bekalan air dan sistem tebatan banjir,” ujar Dr Boo.

Pertemuan itu turut dihadiri Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, Pesuruhjaya PAS Johor, Aminulhuda Hassan dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong.

Steven Choong pula mencadangkan dua langkah iaitu meminta kerajaan negeri memantau dengan teliti semua aktiviti pembalakan di hulu sungai dan mengurangkan daripada masa ke semasa.

Bagi projek Empangan Kahang yang bernilai RM105 juta pula, Pakatan Rakyat Johor menggesa agar laporan terperinci daripada Detailed Environmental Impact Assessment (DEIA) dijalankan segera.

Baru-baru ini, pengagihan air berjadual di sembilan zon di Kluang dilanjutkan kepada 36 jam sekali berbanding 24 jam sebelum ini berikutan keupayaan Loji Rawatan Air Sembrong
Timur membekalkan air semakin berkurangan.

Jamaluddin pula berkata, paras air di Sungai Sembrong Kiri kini pada tahap 0.1 meter iaitu jauh di bawah paras kritikal 0.5 meter. Catuan bermula pada 26 Februari lalu.

Sehubungan itu, Dr Boo memberi contoh kawasan tadahan air yang diurus dengan baik dan diwartakan seperti Juaseh , Linggiu, Gunung Pulai dan Labong tidak menghadapi masalah paras air kerana hutan dijaga dengan baik.

Pakatan Rakyat juga berharap semua agensi kerajaan negeri dan
Persekutuan yang berkaitan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan cekap dan penuh dedikasi demi memastikan sumber bekalan air mencukupi seterusnya menampung keperluan pengguna di negeri Johor.-roketkini.