Berita

Mulakan ‘Operasi Lalang baru’ cantas politik perkauman – Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong menggesa pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang agar memandang ke hadapan dan mencantas ‘lalang politik’ yang masih mengamalkan politik perkauman.

Beliau berkata, semua pihak harus bergerak ke hadapan dan membebaskan Malaysia daripada politik perkauman yang sempit.

“Mereka yang berpaling ke arah suku abad yang lalu adalah mereka yang tidak nampak masa depan untuk suku abad akan datang.

“Barangkali pengundi Kajang harus memulakan ‘operasi lalang’ baru untuk mencantas lalang politik sedemikian,” katanya dalam rencana yang disiarkan laman rasminya, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai memulakan kempen di Kajang dengan cubaan mengaitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ‘Operasi Lalang’ 1987, yang menyaksikan lebih 100 ahli politik dan aktivis ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Memetik The Star 15 Februari lalu, Liow menuduh Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, kononnya antara dalang utama yang mencetuskan insiden serta menekan sistem pendidikan masyarakat Cina.

Namun, katanya lagi, Liow hanya mengkritik bekas pemimpin UMNO di atas kesalahan parti itu, namun tidak berkata apa-apa kepada pemimpin yang masih ada sehingga kini.

“Seperti biasa dan tidak kurang ironinya, MCA seperti tidak sabar memeluk UMNO dalam Kabinet, hanya mengutuk pemimpin yang sudah meninggalkan parti itu,” katanya lagi.

Beliau merujuk keputusan parti itu pada Mesyuarat Agung Luar Biasa 23 Februari lalu, yang meluluskan usul menerima semula jawatan dalam Kabinet selepas menolaknya berikutan kalah besar pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Operasi Lalang asas kerjasama Pakatan Rakyat

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kluang juga menyifatkan Operasi Lalang sebagai asas kepada kerjasama Pakatan Rakyat pada hari ini.

“Ia menjadi sumber inspirasi yang dikongsi bersama pimpinan Pakatan Rakyat hari ini untuk menentang UMNO-BN. Anwar sendiri telah lama meninggalkan politik perkauman UMNO.
“Di Malaysia, hanya apabila semua parti menentang BN bersatu; apabila pengundi Melayu sudah tidak takut kepada DAP dan apabila pengundi bukan Muslim mengundi PAS, barulah regim UMNO-BN mampu ditumpaskan,” katanya lagi. -Roketkini.com