Berita

Teresa tidak tunduk ugutan pelampau, gesa polis siasat

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang mengancam akan mengadakan protes beramai-ramai di depan pejabatnya.

Beliau merujuk ‘kata dua’ yang disampaikan JMM melalui memorandum 27 Februari lalu yang mendesak Teresa memohon maaf berhubung satira politik ‘Onederful Malaysia’.

Mengikut laporan Utusan Malaysia, JMM malah mendesak kerajaan melucutkan kerakyatan Teresa, kononnya sebagai hukuman ke atas beliau.

Satu laporan polis dibuat keesokannya di Balai Polis Seri Petaling berhubung ugutan itu.

“Mereka mengancam jika saya gagal berbuat demikian dalam masa 10 hari, mereka tanpa ragu akan bawa satu ‘batalion’ untuk mengadakan protes di depan pejabat saya.

“Saya harap polis akan segera siasat terhadap ancaman itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau bagaimanapun bertegas tidak akan tunduk kepada desakan itu.

“Saya ulang sekali lagi bahawa saya tidak akan meminta maaf berhubung video itu kerana ia tidak langsung menyentuh isu kaum dan agama. Saya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan.

Saya yakin rakyat Malaysia yang bersikap sederhana menyokong saya,” katanya lagi.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu sebelum ini menerima pelbagai ancaman berhubung video itu, termasuk tawaran RM2,000 oleh NGO pro-UMNO untuk sesiapa yang berjaya menamparnya.

Pejabat pusat khidmatnya juga disimbah cat merah serta ditinggalkan bangkai ayam dan dua keping gambarnya pada 19 Februari lalu.

Katanya lagi, sukar dipercayai bagaimana ada pihak yang boleh memutarbelitkan video itu yang dibuat sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Malah sekarang ini Datuk Seri Shafie Apdal dan Ahli Parlimen MCA Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong tidak lagi mengecam perkara itu selepas mereka mengetahui bersalah menuduh saya menyindir insiden Lahad Datu dan pasukan keselamatan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menjemput semua pihak, termasuk yang menyerang dan mengugutnya supaya sekali lagi menonton sendiri ‘Onederful Malaysia’ yang disertakan dengan sari kata Bahasa Melayu dan memahami mesej sebenar video itu. -Roketkini.com