Berita

UMNO/BN ada kumpulan perang baru kendalian ‘panglima’ muda bijak IT – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) kini mempunyai rancangan perang baru yang akan dikendalikan sekumpulan “panglima” muda yang bijak IT dan akan membekalkan maklumat serta menyediakan taktik menyerang dan bertahan dalam perang siber.

Katanya, untuk rancangan baru ini, tidak banyak ruang dibuka kepada askar upahan UMNO terdahulu, khususnya kalangan yang telah mengumpul kekayaan dengan menyebarkan dongeng Tentera Kacang Merah (TKM) DAP.

“Atas sebab ini pengarang Utusan yang sentiasa menganggap diri mereka sebagai penaung askar siber upahan UMNO melancarkan semula dongeng TKM DAP sebagai usaha terakhir mereka untuk kekal relevan dalam rancangan perang siber UMNO/BN yang baru.

“Utusan menghidupkan semula dongeng ini kerana laba dan wang. Ia jelas merupakan usaha terdesak askar upahan UMNO supaya mereka tidak diketepikan daripada mendapat dana perang siber UMNO jumlahnya mencecah ratusan juta ringgit.

“Askar siber upahan UMNO, termasuk kalangan yang menerima bayaran lumayan untuk menjadi boneka dongeng TKM Utusan, kini sedang berhempas-pulas memastikan supaya mereka tidak diketepikan daripada menerima dana siber UMNO memandangkan mereka dianggap ‘ketinggalan zaman’ untuk menggerakkan perang siber UMNO yang kini digerak sekumpulan ‘genius’ IT,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, berkata, langkah Utusan membangkitkan semula dongeng TKM adalah percubaan terdesak askar siber upahan UMNO untuk memastikan mereka tidak diketepikan dari menerima dana perang siber UMNO yang berjumlah ratusan juta ringgit

Kelmarin, ulasan kolum Awang Selamat berjudul “Pihak berkuasa kita!” yang disiarkan Minguan Malaysia, semalam, bukan saja menonjolkan kemunafikan malah cuba mengalih perhatian kita daripada perbuatan pengarang Utusan yang tidak henti-henti mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan menerusi penyebaran fitnah dan pembohongan yang tujuan melaga-lagakan kaum dan agama di Malaysia.

“Ketika membaca kolum itu terlintas di fikiran saya bahawa kolum itu seperti “musang berbulu ayam” membangkitkan semula tuduhan bahawa DAP membiayai TKM yang kononnya dianggotai 3,000 cybertrooper dan mendapat peruntukan sebanyak RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu.

“Kolum itu juga mengecam pihak berkuasa kerana mengamalkan sikap pilih bulu dengan “memberikan lesen besar untuk membuat provokasi keterlaluan” kepada DAP dan TKM untuk “menghina Islam, Melayu, pasukan keselamatan, kakitangan awam dan negara,” tambahnya.

Beliau bangkitkan ialah mengapa pengarang Utusan tiba-tiba membangkitkan semula dongeng TKM sedangkan ia terhenti sejak enam bulan lalu

Pada Mei dan Jun tahun lalu, pengarang Utusan Malaysia menyebarkan dongeng itu untuk menyerang dan mencemarkan nama pemimpin BN.

Mereka berbohong besar apabila mendakwa TKM mempunyai dua pusat operasi iaitu satu di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, dan satu lagi di Komtar, Pulau Pinang.

Menurut Utusan, modus operandi yang digunakan TKM ialah menyerang mana-mana ahli politik, ahli perniagaan atau penghibur yang dilihat pro-BN menerusi facebook, tweeter dan YouTube untuk meningkatkan kebencian pengundi Cina terhadap mereka.

“Seperti yang disebut pada 27 Jun 2013, saya tidak pernah mendengar mengenai TKM sehinggalah perkara itu dibangkitkan Utusan Malaysia dalam beberapa rencana.

“Saya telah menyebut Utusan sebagai “surat bohong”, bukannya “surat khabar” kerana akhbar itu menyebarkan pembohongan mengenai TKM yang kononnya dibiayai DAP dan saya telah memimpin sejumlah Ahli Parlimen DAP, termasuk Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Foung Kui Loon, disertai media untuk melawat Hotel Concorde pada jam 10 malam, 4 Julai tahun lalu.

“Bagaimanapun, kami dapati Hotel Concorde yang kononnya menjadi pusat TKM itu hanya dipenuhi pemimpin dan penggerak UMNO dan tiada TKM di situ.

“Malah kami juga membuat penemuan yang mengejutkan – bahawa ais kacang berharga mahal di hotel itu tidak mempunyai kacang merah sama sekali,” tambahnya.

Sejak itu, dongeng TKM tajaan DAP yang disebarkan Utusan menjadi bahan jenaka seluruh negara dan selama itu juga ia tidak lagi disebut, termasuk oleh Utusan Malaysia sendiri, sehingga ia diungkit semula beberapa hari lalu, termasuk menerusi kolum “musang berbulu ayam” Awang Selamat.

Beliau juga telah sebut pada Jun tahun lalu bahawa “kegilaan” terhadap dongeng TKM DAP itu berkait dengan agenda sulit yang membabitkan pemimpin tertinggi UMNO untuk menghalalkan peruntukan sebanyak RM350 juta sepanjang lima tahun bagi memerangi TKM DAP yang tidak wujud dan hanya rekaan semata-mata.