Berita

DAP gesa Kerajaan Pusat buktikan keikhlasan, akhiri segera krisis air Selangor

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mencabar Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) berusaha dengan penuh ikhlas memastikan syarikat konsesi air menerima tawaran RM9.65 bilion sebagaimana perjanjian dengan Kerajaan Negeri Selangor, baru-baru ini.

Beliau berkata, lesen untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak akan diteruskan jika kerajaan gagal menjalankan tugasnya.

“Kerajaan Persekutuan kini perlu membuktikan komitmen dan keikhlasan untuk menamatkan kebuntuan masalah air di Selangor.

“Jika kerajaan gagal memujuk syarikat konsesi supaya menerima tawaran diberikan, maka ia perlu menjalankan semua kuasanya mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA), terutama Fasal 114 untuk mengambil alih secara wajib syarikat air berdasarkan model pampasan yang dinyatakan di dalam perjanjian konsesi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengikut perjanjian yang ditandatangani minggu lalu, Selangor akan mengambil alih operasi empat syarikat konsesi air iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (Abbas) dengan harga tawaran RM9.65 bilion dan dalam satu konsortium air di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Perjanjian itu juga akan membawa kepada pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, di mana ia tidak boleh dibatalkan tetapi penilaian aset air masih tertakluk kepada rundingan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, bantahan hebat daripada rakan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) berdasarkan perjanjian itu adalah berikutan kesangsian apakah Kerajaan Persekutuan berupaya serta mampu melaksanakan janji yang sudah termeterai itu.

“Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sanggup berbuat demikian untuk menamatkan kebuntuan yang merumitkan rakyat walaupun mendapat bantahan pemimpin PR sendiri. Jadi semuanya kini berada di tangan Kerajaan Persekutuan untuk memainkan peranan sewajarnya sehingga 10 Mac ini.

“Namun, jika Kerajaan Persekutuan gagal memenuhi peranan dengan sewajarnya dalam masa ditetapkan, Selangor melalui Exco dan DUN akan menjalankan semua kuasanya yang termaktub mengikut undang-undang negeri dan Perlembagaan Persekutuan untuk menafikan semua lesen kepada entiti kerajaan berkaitan Projek Langat 2.

“Tanpa kelulusan tambahan, Projek Langat 2 tidak boleh diteruskan,” tegasnya. – Roketkini.com