Berita

Utusan bohong dakwa saya tidak setuju nama Jambatan Kedua ditukar – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menempelak akhbar UMNO, Utusan Malaysia yang menuduhnya tidak bersetuju nama Jambatan Kedua Pulau Pinang ditukar kepada Jabatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Malah, katanya lagi, akhbar itu langsung tidak menghantar wartawan untuk majlis gotong-royong ketika beliau ditanya mengenai perkara itu, semalam.

“Ia adalah hak kerajaan Persekutuan untuk menamakannya. Tidak benar sama sekali yang saya tidak gembira jambatan itu mengambil sempena nama Yang di-Pertuan Agong,” katanya menurut The Malaysian Insider.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan bertajuk ‘Terima hati terbuka nama jambatan kedua’ yang mendakwa Guan Eng kononnya tidak gembira dengan nama itu kerana ia diputuskan tanpa perbincangan bersama kerajaan negeri.

Setiausaha Agung DAP itu berkata lagi, beliau hanya ingin membetulkan kesilapan laporan mengenai perkara itu, bukannya menyekat kebebasan media.

“Saya hanya membetulkan kesilapan laporan. Apabila kami cuba betulkan, kami dituduh menyekat kebebasan media.

“Adakah anda ingin saya tambah saman ke atas Utusan. Kini pun sudah banyak (saman terhadap akhbar itu),” katanya lagi.

Pada 1 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan jambatan yang menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dengan Batu Kawan di Seberang Perai yang menelan belanja RM4.5 bilion.

Majlis itu turut dihadiri sendiri Guan Eng dan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof. – Roketkini.com