Berita

Kit Siang kutuk tindakan bunuh, cederakan polis

KUALA LUMPUR, 5 MAC: DAP bersama rakyat Malaysia mengutuk pembunuhan anggota polis, Kopral Raja Aizam Raja Mohd dan mencederakan Kopral Mohd Aidil Mustafa oleh pendatang haram di Klang, kelmarin.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata, pembunuhan terbabit perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman paling berat mengikut undang-undang berkaitan.

Serangan ke atas dua orang korporal polis oleh pendatang haram menandakan fasa baru tahap keselamatan di Malaysia

Sehubungan itu, katanya, DAP juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar Kopral Mohd Aidil yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pulih dengan segera daripada kecederaan yang dialami akibat tetakan ke kepala.

Menurut beliau, serangan ke atas dua anggota polis oleh pendatang haram itu menandakan fasa baru tahap keselamatan di Malaysia – bukan saja rakyat biasa, anggota polis sendiri juga tidak merasa selamat dalam negara sendiri.

Seramai 100 orang yang hadir pada forum “Time to Reform the Polis Force” di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-KL, kelmarin merasakan sebahagian besar rakyat Malaysia, sama ada yang tinggal di bandar atau luar bandar tidak lagi merasa selamat.

“Tahap keselamatan dalam negara sebenarnya lebih buruk kerana polis sendiri tidak merasa selamat ketika menjalankan tugas biasa mereka untuk memastikan negara dan orang ramai bebas daripada jenayah.

“Antara punca keadaan keselamatan dalam negara ini semakin buruk ialah kerana polis dan pihak berkuasa sudah lama mengabaikan kebanjiran pendatang haram yang kelihatan seperti menubuhkan “sebuah negara lain dan undang-undang lain dalam negara di samping undang-undang sedia ada” yakni sedang membentuk gunung berapi yang menanti masa untuk meletus dan memberi kesan buruk kepada semua warga Malaysia!

“Saya bersetuju penuh dengan ahli panel dalam forum itu iaitu Pengarah Eksekutif Women’s Aid Organisation, Ivy Josiah yang juga anggota Suruhanjaya Diraja Polis yang dibentuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004 yang menyarankan bagi mengubah polis Malaysia menjadi sebuah pasukan yang cekap, profesional dan bertaraf dunia untuk memenuhi tiga matlamat iaitu mengurangkan kadar jenayah, membasmi korupsi dalam pasukan polis dan memelihara hak asasi manusia di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelanmg Patah berkata, Suruhanjaya Siasatan Polis Diraja Dzaiddin yang dianggotai oleh Ivy telah mengemukakan lebih 100 saranan, antara yang terpenting adalah pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Namun, 10 tahun selepas RCI itu, keyakinan orang awam terhadap kecekapan, integriti dan profesionalisme polis merosot ke tahap paling rendah dalam sejarah negara.

Katanya, Ivy Josiah juga menyarankan supaya jawatankuasa pilihan Parlimen dibentuk untuk menjelajah ke seluruh negara bagi mendengar aduan rakyat berkenaan polis.

Menurut Ivy, barangkali jika orang awam mula mendedahkan nama anggota polis yang salah laku, pihak berkuasa di Putrajaya akan mula mendengar dan memberi perhatian terhadap kelemahan dalam pasukan polis.

Kit Siang berkata, apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sanggup menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan Polis dan Keselamatan Orang Ramai pada sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan?

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal Parlimen, Datuk Seri Shahidan Kassim perlu sanggup membangkitkan subjek itu pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

“Saya akan menghantar nota kepada Shahidan sebelum mesyuarat Kabinet pada Rabu ini untuk menggesa beliau mendapatkan lampu hijau daripada Kabinet bagi pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan Polis dan Keselamatan Orang Ramai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional untuk menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sedemikian bagi memastikan pasukan polis dapat diperbaharui sehingga ia memberi keutamaan bagi memastikan rakyat Malaysia, pelancong, pelabur, wanita dan juga polis merasa selamat dalam negara ini daripada penjenayah dan pendatang haram agar tragedi yang menimpa dua anggota polis kelmarin tidak berulang.-Roketkini.com