Berita

Krisis air angkara SYABAS, DAP gesa syarikat konsesi terima tawaran ambilalih

PETALING JAYA, 5 MAC: Syarikat konsesi air, terutama Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) perlu menerima tawaran pengambilalihan oleh kerajaan Selangor kerana masalah air yang dihadapi rakyat negeri ini kini berpunca daripada kegagalannya menjalankan tugas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, krisis air yang melanda negeri hari ini boleh dielakkan jika SYABAS mampu mengurangkan kerugian air (non-revenue water (NRW) dengan sistematik beberapa tahun lalu.

“Pencatuan air ini mensasarkan untuk mengurangkan pengeluaran air mentah dari empangan Sungai Selangor dan Klang Gate pada 230 juta liter sehari, kira-kira lima peratus daripada permintaan sebanyak 4,500 juta liter sehari.

“Bermakna, jika dulu SYABAS mampu baiki prestasi NRW kepada hanya lima peratus, krisis ini tidak akan terjadi dan akan menyelamatkan 2.2 juta penduduk daripada kesukaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memetik laporan berhubung Holifah Siman, penduduk Taman Impian Ehsan, Seri Kembangan yang keguguran anak kembar ketika mengangkat air ke rumahnya di tingkat tiga sebuah pangsapuri di situ.

Katanya lagi, ‘usaha menyelamat’ kerajaan Pusat yang memberikan peruntukan kepada SYABAS bagi meningkatkan perkhidmatan ternyata tidak berhasil.

“Tahun lalu saja, kerajaan Pusat beri RM271 juta pinjaman mudah kepada SYABAS untuk meningkatkan fasiliti. Apa hasil jutaan ringgit itu terhadap pengurangan NRW dan masalah air ini?,” katanya lagi.

Balakong dipercayai kawasan paling teruk terjejas apabila laporan menyatakan bekalan air penduduk di sana dipotong tanpa sebarang notis sejak 9 Februari lalu.

Pada 26 Februari lalu, kerajaan Selangor yang diwakili Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Pusat bagi menstrukturkan semula industri air negeri itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat konsesi air – Puncak Niaga Sdn Bhd, SYABAS, Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd dan Konsortium ABASS menerima tawaran pengambilalihan kerajaan Selangor bernilai RM9.65 bilion menjelang 10 Mac ini.

“Krisis air buatan manusia tidak harus berulang. Margin simpanan air yang jatuh bawah satu peratus menjadikan kita tidak lagi mampu menangguhkan penstrukturan semula bekalan air.

“Seandainya mereka tolak tawaran itu, kita harap kerajaan Pusat akan menghormati syarat MoU dan segera menggunakan Fasal 114 Akta Industri Perkhidmatan Air untuk membenarkan pengambilalihan wajib syarikat itu,” katanya lagi. -Roketkini.com