Berita

Pengundi Kajang perlu tolak politik ugut BN, beri sokongan padu kepada Anwar – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim merayu pengundi Kajang menolak politik ugut Barisan Nasional (BN), sebaliknya memberi sokongan padu kepada calon Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mencapai kemenangan dengan majoriti lebih besar.

Permintaan itu berikutan sikap UMNO-BN yang masih mengamalkan politik mengugut mengenai peruntukan pembangunan untuk rakyat.

Ahad lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan peruntukan pembangunan hanya boleh disalurkan kepada pilihan raya jika pengundi Kajang memberi mandat kepada calon BN, Datuk Paduka Chew Mei Fun.

“Jika seseorang membaca dengan berhati-hati nada dan kandungan kenyataan Zahid itu, mereka dengan mudah menampakkan keangkuhan ancaman beliau itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zahid juga mendakwa BN mempunyai peluang baik menang di Kajang kerana orang Melayu mula memberi sokongan semula kepada BN selepas menyedari kononnya kerajaan Selangor gagal menyediakan insfrastruktur diperlukan.

“Jadi adalah jelas Zahid bukan sahaja begitu yakin dengan peluang BN, tetapi begitu angkuh hingga sanggup mengugut apabila mengatakan peruntukan hanya akan diberi kepada pengundi Mei Fun.

“Saya ingin bertanya, apakah Presiden MCA, Liow Tiong Lai cukup berani secara terbuka menolak kenyataan angkuh Zahid ini?.” soalnya.

Pada Disember 2012 lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan parti komponen BN agar menghindari ’empat penyakit’ yang boleh menyebabkan kelekaan sehingga menjana kebencian dan kemarahan terhadap kerajaan.

Empat penyakit itu adalah khayalan, amnesia, inersia dan keangkuhan.

“Masa membuktikan BN tidak dapat berubah dan pemimpin UMNO masih sombong seperti dulu. -Roketkini.com