Berita

Niat ikhlas Teresa bersalam dibalas telur busuk

PERMATANG PAUH, 6 MAC: Seorang lelaki tidak dikenali melakukan perbuatan khianat kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dengan memecahkan telur busuk ketika bersalam pada satu majlis ceramah di Taman Cermai, Permatang Pauh, semalam.

Kejadian itu berlaku selepas Teresa selesai menyampaikan ucapan dalam ceramah berhubung isu ‘Onederful Malaysia’, tiba-tiba seorang lelaki datang mendekatinya untuk bersalam dengan menggenggam sebiji telur busuk.

“Lelaki itu kata dia mahu bersalam dengan saya. Jadi saya terus menghulurkan tangan dan mendapati dia menggenggam sebiji telur. Telur itu pecah ketika bersalam dan mengotorkan tangan serta sedikit percikannya mengenai baju saya,” katanya, dilaporkan Malaysiakini.

Mereka yang menyaksikan kejadian itu, kebanyakannya Melayu bertindak pantas mengepung dan menahan lelaki ketika cuba melarikan diri.

Berikutan itu pihak penganjur bertindak membawa Teresa Kok keluar daripada situ bagi mengelak berlakunya provokasi seterusnya.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu bagaimanapun menafikan beliau ditampar seperti yang dilaporkan akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia.

Kira-kira tengah malam semalam, Utusan menghantar kiriman berita SMS mengatakan Teresa Kok “ditampar individu tidak dikenali selepas majlis ceramah di Taman Cermai, Permatang Pauh, kira-kira jam 11.30 malam.

Namun, Utusan kemudian menghantar SMS pembetulan mengatakan Teresa tidak ditampar, tetapi ‘diberikan’ sebiji telur busuk oleh seorang lelaki, yang kemudiannya pecah ketika mereka bersalam.

Pada majlis yang sama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, masing-masing mengkritik politik perkauman yang dicetuskan penyokong UMNO Perkasa kebelakangan ini.

Video OneDerful Malaysia terbitan Teresa yang disiarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini menerima reaksi melampau pihak tertentu, termasuk menawarkan ganjaran wang kepada sesiapa yang dapat merakamkan aksi menampar ahli politik wanita berkenaan. – Roketkini.com