Berita

Pecah ‘telur busuk’ terhadap Teresa, hina wanita

BUKIT MERTAJAM, 6 MAC: Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mengutuk tindakan memecahkan ‘telur busuk’ terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim pada satu majlis ceramah di Permatang Pauh, semalam.

Beliau menganggap perbuatan itu bukan sahaja ‘kotor’ malah merupakan satu penghinaan terhadap seorang wanita ketika dunia bakal menyambut Hari Wanita Antarabangsa, Sabtu ini.

“Ini bukan saja politik longkang dan kebencian tetapi membuli seorang pemimpin wanita.

“‘Kesaksamaan wanita adalah kemajuan untuk semua’ adalah tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini tetapi ia amat memalukan apabila layanan kelas kedua terhadap mereka masih berleluasa. Ini jelas merupakan budaya diskriminasi dan ketidakadilan gender,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera menghentikan kegilaan sedemikian daripada berterusan dan semakin merebak.

“Najib harus segera mengeluarkan kenyataan membidas dan mengutuk segala serangan yang dilemparkan terhadap Teresa malam tadi dan tunjuk perasaan darah ayam tempoh hari. Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang terbabit,” tegasnya.

Kejadian semalam adalah rentetan serangan selepas demonstrasi di Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu oleh sekumpulan NGO pro-UMNO yang menyembelih, melumur darah ayam pada kain rentang tertera gambar Teresa.

Dalam demonstrasi itu, ganjaran berjumlah RM1,200 juga ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menampar muka Teresa.

“Serangan malam tadi jelas menunjukkan tiada tindakan oleh pentadbiran Najib seolah-olah membenarkan golongan fanatik ini terus berleluasa dan semakin melampau.

“Golongan pelampau makin agresif, tapi Najib dan UMNO-BN masih sibuk mengibarkan slogan kosong ‘1Malaysia’ dan ‘Pendamaian’,” kesal Steven. -Roketkini.com