Berita

Selangor usah tergesa-gesa tandatangan perjanjian air

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Pakatan Rakyat meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak terburu-buru menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kandungan perjanjian itu perlu diteliti secara terperinci kerana ia bakal memberi kesan besar kepada Selangor.

“Kami minta Khalid usah terburu-buru kerana ia beri kesan besar kepada negeri (seperti tarif air dan projek Langat 2).

“Kami perlu pertimbangkan semua faktor dan dapatkan pendirian daripada sudut perundangan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS, di sini, petang tadi.

Kerajaan Selangor dan kerajaan Pusat memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri bekalan air 26 Februari lalu.

Katanya lagi, Khalid juga setuju untuk mengadakan satu taklimat terperinci kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

“Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat juga sudah hantar wakil untuk bawa keputusan mesyuarat tadi ke taklimat nanti,” katanya lagi.

Wakil yang akan menghadiri taklimat itu adalah Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook.

Sehubungan itu, Mustafa berkata, pemimpin perlu diberi taklimat berhubung MoU itu sebagai tanggungjawab bersama dalam Pakatan Rakyat.

“Pemimpin Pakatan Rakyat perlu tengok, agar kita ada tanggungjawab bersama dalam apa-apa tindakan dan keputusan,” katanya lagi. – Roketkini.com