Berita

MB Selangor setuju tangguh perjanjian air, beri taklimat kepada pimpinan PR malam ini

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersetuju menangguhkan keputusan menandatangani perjanjian awal penstrukturan air Selangor, dan memberi taklimat kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berhubung isu itu terlebih dahulu.

Persetujuan Menteri Besar Selangor itu telah dimaklumkan kepada wakil pimpinan PR dalam satu pertemuan di sini petang semalam.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai ketika dihubungi berkata, hal tersebut diputuskan dengan Menteri Besar Selangor dalam satu pertemuan semalam.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat memutuskan taklimat perlu diadakan sebelum Khalid menandatangani perjanjian, dan menghantar tiga wakil, termasuk Tan untuk menyampaikan keputusan itu kepada Khalid.

“Saya, (Setiausaha Agung PKR) Datuk Saifuddin Nasution dan (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat) Dr Dzulkefly Ahmad dihantar Majlis Pimpinan untuk sampaikan keputusan mesyuarat kepada Khalid.

“Kita minta beliau tangguh dulu keputusan itu dan beri taklimat kepada Majlis Pimpinan dan beliau setuju,” kata Ahli Parlimen DAP Cheras itu lagi.

Memetik Malaysiakini, Abdul Khalid memaklumkan, persetujuan sudah dicapai dengan kerajaan pusat untuk menandatangani perjanjian awal, sebagai susulan kepada Perjanjian Persefahaman (MoU) penstrukturan semula air Selangor yang dimeterai 26 Februari lalu.

Petang semalam juga, kerajaan negeri mengadakan taklimat bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Selangor berhubung MoU itu.

Dalam sidang media sebelumnya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, taklimat perlu diberikan kerana perjanjian itu memberi kesan besar kepada Selangor.

“Kena lebih teliti kerana ia beri kesan besar kepada Selangor seperti (kadar) tarif dan (projek) Langat 2.

“(Maka) Majlis Pimpinan setuju hantar wakil (untuk sampaikan pesanan) perlu ada penjelasan kepada pimpinan sebelum tandatangani (perjanjian).

“Tak ada salah jika kami diberikan input,” katanya lagi. – Roketkini.com