Berita

Fitnah Liwat 2: Anwar dihukum 5 tahun penjara

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Politik Malaysia sekali lagi dilanda episod gelap apabila Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman lima tahun penjara kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes fitnah liwat 2.

Keputusan itu disampaikan empat hari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang 11 Mac ini, di mana Anwar adalah calon bagi Pakatan Rakyat.

Keputusan itu membatalkan pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi 9 Januari 2012, yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi ketika membacakan keputusan berkata,ia adalah keputusan sebulat suara panel hakim yang juga dianggotai Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh.

Hakim menetapkan masa selama sejam untuk mitigasi, selepas menolak permintaan peguam bela agar ia dilakukan pada minggu depan.

Keputusan itu ternyata mengejutkan ramai pihak, terutama ahli keluarganya, yang dilaporkan mengalirkan air mata sebaik selepas hakim menyampaikan keputusan.

“Ada ketika tadi apabila siapa yang hadir di galeri awam menjerit ke arah hakim dengan penuh tidak percaya. Ya, mereka menjerit,” memetik twitter Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Reaksi pimpinan Pakatan

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong melalui akaun twitter berkata, Anwar masih individu paling berbahaya di mata Umno BN, dan perlu ‘dihapuskan’ dengan apa cara sekali pun.

“Malah, Anwar Ibrahim sebagai MB (Menteri Besar) pun cukup sebagai ancaman kepada Umno BN yang perlu dihentikan dengan apa jua cara,” katanya lagi.

“Tiada hari malang buat kita. Yang ada hari untuk kita terus berjuang. Lawan tetap lawan!,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Naib Presiden PKR N Surendran pula membayangkan keputusan mahkamah ini akan menyebabkan kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman negara semakin parah.

“(Sistem) Kehakiman tidak akan pulih daripada (keputusan) ini untuk suatu masa yang lama,” katanya yang juga seorang peguam.

“Rakyat akan tetap bersama DS @anwaribrahim. Lawan tetap lawan!,” kata Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Siong, juga menerusi twitter. – Roketkini.com