Berita

Kian Ming menempelak menteri tuduh Kajian Insinerator 2013 UTM ketinggalan zaman, tidak berasas

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming menempelak Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang meremehkan kajian tapak berhubung insinerator di Taman Beringin, Kepong oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila mendakwa ia ‘tidak berasas’ dan ‘ketinggalan zaman’.

Sedangkan, katanya lagi, kajian itu dijalankan pada 2013 dan turut diberikan kepada pembida projek itu.

“Beliau perlu sedar kajian itu dibuat pada Februari 2013 dan diberi kepada pembida. Tapak dikenalpasti (Pilihan B dalam kajian itu) tidak ditukar, bermakna jarak ‘buffer’ (jarak dengan aktiviti manusia) untuk cadangan insinerator itu juga kekal. Bahagian ini tidak ‘ketinggalan zaman’.

“Malah, jarak ‘buffer’ yang tidak mencukupi seperti yang dibangkitkan kajian UTM bukan berdasarkan khabar angin dan tiada asas. Kebakaran besar di insinerator Tuas di Singapura pada November 2013 dan letupan di insinerator Shanghai pada Desember 2013 menyebabkan seorang mati, benar-benar berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Abdul Rahman dilaporkan mendakwa laporan UTM itu ketinggalan zaman, dan negara tidak boleh beroperasi berdasarkan ‘khabar angin’ dan ‘dakwaan tidak berasas’.

Malah, beliau menyuruh Kian Ming membuat carian google, berhubung sebuah insinerator di Jepun yang dibina bersebelahan sekolah dan hospital.

Kian Ming dengan sinis berkata, beliau ‘melayan’ nasihat Abdul Rahman itu, namun tidak menjumpai sebarang bukti meyakinkan berhubung tahap keselamatan insinerator di Jepun.

Beliau memetik laman Program Alam Sekitar Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) yang melaporkan, udara di Jepun mengandungi hampir sepuluh kali ganda bahan kimia ‘dioxin’ berbanding negara perindustrian lain, berikutan kecenderungan negara itu menggunakan insinerator.

Beliau turut merujuk Laman Jabatan Hal Ehwal Veteran Perang Amerika Syarikat yang memaklumkan, ‘kakitangan pangkalan udara di Atsugi, Jepun mungkin didedahkan dengan bahan tercemar dalam udara daripada insinerator…ada risiko kesihatan yang meningkat dan bekerja dengan kerajaan Jepun untuk menutupnya. Insinerator itu ditutup pada Mei 2001’.

“Saya terkejut apabila membaca nasihatnya itu. Sebagai menteri, beliau perlu lebih bertanggungjawab dalam tindakan dan kata-kata, bukannya acuh tak acuh dengan kebimbangan penduduk dan pengundi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau kembali menasihati Abdul Rahman supaya membaca ‘Kajian Impak Alam Sekitar – Garis Panduan untuk Loji Pembakaran Sampah’ yang dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2012.

Katanya lagi, halaman 44 laporan itu menyatakan dengan jelas keperluan jarak ‘buffer’.

“Hanya kerana adanya insinerator di Jepun di sebelah sekolah atau hospital, tidak bermakna ia boleh diterima di sini. Pemilihan tapak di Taman Beringin, Kepong tanpa jarak ‘buffer’ mencukupi menunjukkan kesanggupan kerajaan melanggar garis panduan itu,” katanya lagi. – Roketkini.com