KUALA LUMPUR, 7 MAC: Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, esok (8 Mac), DAP menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan kedudukannya untuk menghentikan ‘gangster politik’ yang mengancam dan merendahkan ahli politik, terutama wanita.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia berikutan kegagalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak tegas, menyebabkan gejala itu berterusan sehingga kini.
“Ketika Malaysia menyambut Hari Wanita Sedunia, ia dicemari dengan insiden di Sama Gagah, Permatang Pauh apabila lelaki tidak dikenali menyerang Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dengan telur busuk ketika bersalam selepas ceramah.
“Walaupun beliau tidak cedera, ia bukan peristiwa terpencil kerana pihak berkuasa sebelum ini gagal bertindak terhadap penyokong UMNO yang membuat tawaran RM1,200 bagi sesiapa yang menampar beliau,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejadian yang berlaku malam Sabtu lalu itu adalah rentetan daripada ancaman yang diterima Teresa, seperti tawaran menampar beliau dan simbahan cat merah dan bangkai ayam di pejabat pusat khidmatnya Februari lalu.
Justeru, katanya lagi, Najib perlu secara peribadi mengarahkan pihak berkuasa untuk lebih menghormati wanita, dengan bertindak tegas terhadap ‘gangster politik’ yang semakin berani meneruskan penghinaan dan ancaman mereka.
“Najib perlu masuk campur untuk mengembalikan maruah golongan wanita dan memberi makna kepada sambutan ini dengan memberi jaminan bahawa mereka selamat daripada ancaman dan serangan keganasan,” katanya lagi.
Mana suara Wanita UMNO?
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap Wanita Umno yang tidak menunjukkan solidariti untuk bersama-sama Teresa, apatah lagi mendesak tindakan dikenakan terhadap pihak yang mengancam Naib Pengerusi DAP itu.
“Apa yang mengejutkan adalah sikap pimpinan UMNO yang tidak mengecam tindakan itu, seterusnya dengan diam merestuinya.
“(Sedangkan) Setiap budaya, agama dan kaum di dunia memandang tindakan membuli serta bertindak ganas terhadap wanita sebagai pengecut dan memalukan. Barangkali hanya di kalangan penyokong UMNO yang tidak menganggapnya sedemikian,” katanya lagi. -Roketkini.com