Rencana

Pengalaman paling dekat dengan BTN – Oleh Dyana Sofya

Akhbar The Malay Mail bertarikh 5 Mac lalu, Menteri UMNO, Khairy Jamaluddin mencadangkan semakan perlu dilakukan ke atas kursus latihan Biro Tata Negara (BTN) dengan menyatakan mahasiswa seharusnya dilayan seperti orang dewasa, bukannya menjadi penyokong buta kerajaan.

Saya sendiri tidak pernah mengikuti sebarang kursus BTN. Tetapi, beberapa tahun lalu, kawan saya yang bekhidmat di sebuah agensi kerajaan menerima arahan pihak atasan untuk menghadiri kursus BTN. Pada masa itu beliau sedang bercinta dengan seorang gadis berketurunan Cina yang cantik.

Sekembalinya daripada kursus itu yang diadakan di  Pahang, kami bertemu dalam sesi minum kopi mingguan dan berkongsi pengalaman beliau mengenai penyertaannya dalam kursus itu.

Dalam pertemuan itu, beliau menyatakan kursus itu menjadikan beliau bersifat perkauman. Sehingga beliau merasakan bahawa kaum lain tidak cukup bersyukur dapat berada di Malaysia. Perlu ditunjukkan kepada mereka bahawa kita adalah bos dan mereka perlu menghormatinya.

Saya terkejut kerana kata-kata itu keluar daripada mulut seorang teman yang saya kenali sejak berusia 10 tahun, dengan tiada sifat-sifat perkauman di dalam diri dan hampir setiap hari (dan juga malam) meluahkan perasaan cinta terhadap teman wanitanya yang berketurunan Cina.

Kawan lain yang turut bersama tidak terkejut kerana beliau mendengar perkara sama daripada rakan yang sudah beberapa kali menghadiri kursus itu. Rupa-rupanya, BTN sememangnya dikenali sebagai tempat mencuci otak peserta dengan menyamar sebagai agensi yang ditugaskan untuk menyemai semangat patriotisme dan melatih pemimpin masa depan Malaysia.

Pengalaman paling dekat saya dengan ‘BTN’ ialah ketika berada di sekolah menengah, seorang guru ganti mata pelajaran Sejarah meletakkan peta Malaysia di papan putih dan memberitahu kelas bahawa orang Melayu mengorbankan Tanah Melayu untuk Malaysia. Beliau berkata, negara kita sepatutnya menjadi tanah orang Melayu, tapi kita memilih untuk bertoleransi dan menerima ‘orang lain’ dan menukar nama negara yang dicintai ini daripada Tanah Melayu kepada Malaya dan kemudiannya Malaysia.

(Ya, pengalaman ini adalah beberapa tahun sebelum ISMA keluar dengan ‘kajian saintifik’ mendakwa kewujudan genetik Melayu boleh dikesan 30,000-40,000 tahun lebih awal berbanding Cina dan India).

Pada masa itu, saya secara jujur mengakui menerimanya. Ada perasaan bangga datang meluru dan selama lebih kurang seminggu dua dengan cara yang tidak begitu baik, saya melihat rakan bukan Melayu dengan pandangan berbeza. Saya merasakan bahawa saya lebih tinggi kedudukannya daripada mereka.

Mujurlah, saya akhirnya dapat mengatasi perasaan itu kerana perlu menemui mereka untuk meminta bantuan dalam menyelesaikan latihan Matematik (atau mungkin untuk berbual mengenai drama terkini di sekolah yang sedang berlaku minggu itu?)

Kita kembali semula kepada BTN. Adakah dakwaan ini benar? Jika benar, masa, tenaga, dana (yang dibayar oleh pembayar cukai) dan usaha yang sedang dijalankan untuk menyemai kebencian dan menyebabkan perpecahan kaum dan polarisasi agama perlu disalurkan kepada usaha menggalakkan semangat patriotisme, memberi inspirasi kepada perpaduan dan menggalakkan toleransi dan kebersamaan di kalangan rakyat Malaysia.

Cadangan Menteri Belia dan Sukan untuk menyemak semula sukatan kursus latihan BTN dan menggalakkan kemahiran berfikir secara kritis pada saya, perlu dialu-alukan. Saya juga bersetuju dengan Ahli Parlimen BN Rembau itu apabila generasi muda tidak seharusnya secara membuta tuli menyokong kerajaan tetapi harus mampu membuat keputusan untuk diri mereka sendiri apakah kerajaan itu layak disokong.

Saya menjangkakan bahawa KJ mengakui BTN mengandungi sukatan pelajaran wajib tentang perlunya berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan. BTN sepatutnya menjadi kursus yang menarik untuk mendidik peserta mengenai negara kita yang tercinta, mengingatkan mereka tentang warna-warni sejarah, menjadikan mereka seorang yang patriotik dan menunjukkan betapa bangganya menjadi rakyat Malaysia.

Bukannya terus menerapkan maklumat berat sebelah kepada pelajar, semakan atau pembaharuan juga seharusnya dilakukan untuk sistem pendidikan kita sekarang juga, contohnya dengan menghapuskan unsur politik di dalam sistem pendidikan yang sarat dengannya? Nah, itu cerita lain. -Roketkini.com