Berita

Prestasi universiti merosot, Kit Siang cabar Muhyiddin jawab di Parlimen

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencabar Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kenyataan di Parlimen minggu depan, berhubung prestasi universiti tempatan yang masih ketinggalan dalam kedudukan ranking universiti terbaik dunia.

Beliau berkata demikian kerana tidak ada satu pun universiti tempatan yang tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia 2014 yang dikeluarkan Times Higher Education (THE), semalam.

Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila semua universiti tempatan juga tiada disenarai dalam 400 universiti terbaik yang dikeluarkan THE selama empat tahun berturut-turut.

“Adalah suatu yang menyedihkan rakyat Malaysia apabila kedudukan universiti terbaik dunia dikeluarkan kerana mereka mendapati betapa teruknya universiti kita jika dibandingkan di peringkat antarabangsa.

“Beranikah Muhyiddin memberi kenyataan di Parlimen minggu depan dan menjelaskan mengapa tidak ada satu pun universiti kita yang tersenarai, sedangkan dua universiti Singapura termasuk dalam senarai itu?” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Singapore National University (NSU) berada pada kedudukan ke-34 pada 2011, 40 (2012), 29 (2013) dan 21 (2014). Bagi 2014, ia hanya di belakang dua universiti di Asia iaitu University of Tokyo (11) dan Kyoto University (19).

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, lebih memalukan Universiti Malaya yang menjadi kebanggaan negara satu ketika dulu kini bukan hanya ketinggalan kepada pesaingnya, malah dengan universiti yang tidak dikenali sebelum ini.

“Universiti Malaya bukan sahaja ketinggalan kepada yang setaraf dengan, seperti Universiti of Hong Kong dan University of Melbourne, malah ketinggalan dengan universiti yang tidak dikenali sebelum ini.

“Sebagai contoh, Middle East Technical University of Turkey dan University of Sao Paulo of Brazil tersenarai dalam kedudukan 100 universiti terbaik pada 2012 – 2014. Ini memalukan kita,” katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan perlu berani menjelaskan sebab universiti tempatan merosot teruk berbanding satu ketika dulu.

“Langkah pertama untuk reformasi universiti tempatan bagi mengembalikan standard akademik bertaraf dunia, Muhyiddin perlu jelaskan mengapa kita merosot begitu teruk, berbanding pesaing kita pada era 50-an dan 60-an,” katanya lagi. – Roketkini.com