KUALA LUMPUR, 8 MAC: Pemuda Pakatan Rakyat (PR) membuat pengisytiharan menggerakkan gelombang Reformasi 2.0 untuk terus memberikan kesedaran kepada rakyat sekaligus menumbangkan rejim zalim pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong; Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat dalam kenyataan bersama berkata, gerakan itu wajib dilakukan setelah UMNO-BN sekali lagi memperalat institusi kehakiman dengan pertuduhan jahat hingga menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diheret ke penjara.
“Hari ini sekali lagi negara menyaksikan institusi kehakiman negara diperolok dan keadilan dipermainkan. Selepas 15 tahun ternyata UMNO-BN tidak dapat menyembunyikan hakikat kebimbangan kehilangan kuasa dan ketakutan kepada sosok Anwar Ibrahim yang pernah dikatakan tidak relevan.
“Jelas, dalam suasana BN yang semakin hilang pengaruh sehingga bukan sahaja gagal mendapat majoriti 2/3, tetapi hanya meraih 47 peratus undi popular dan kesediaan Anwar membuktikan keupayaan mentadbir melalui Langkah Kajang, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa.
“Pemuda Pakatan menolak pertuduhan jijik dan hukuman zalim bermotif politik kepada Anwar Ibrahim dan mengingatkan kerajaan bahawa rakyat akan bangkit menolak kejahatan ini dengan segala kekuatan yang ada,” tegas mereka.
Politik Malaysia sekali lagi dilanda episod gelap apabila Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman lima tahun penjara kepada Anwar Ibrahim berhubung kes fitnah liwat 2.
Keputusan atas telunjuk UMNO-BN itu bukan saja membatalkan pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012, malah ia turut menyekat Ketua Umum PKR itu dari bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang tidak berapa lama lagi. – Roketkini.com