Berita

Ahli Parlimen PR boikot seragam Parlimen, bantah hukuman terhadap Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini memboikot pakaian rasmi Parlimen berwarna putih, yang biasa dipakai pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat, sebagai protes terhadap hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, majoriti Ahli Parlimen lelaki memakai sut hitam, manakala wanita memakai baju kebangsaan seperti baju kurung.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, bantahan khusus terhadap hukuman itu dan bukannya kepada institusi Parlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Kami berpakaian hitam hari ini sebagai protes kepada ketidakadilan dan salah guna kuasa oleh kerajaan.

“Namun, kami masih tunjukkan penghormatan kepada institusi (Parlimen) dan Raja,” katanya ketika ditemui selepas sesi titah ucapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Tuanku Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Dalam pada itu, Pakatan Rakyat juga meneruskan keputusan untuk tidak hadir ke majlis Santapan Diraja bersama YDPA, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet serta Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Ya, Kami sudah umumkan untuk boikot,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang ringkas, ketika ditanya berhubung perkara itu.

Selain itu, mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat juga memutuskan untuk memboikot sidang Parlimen, esok.

Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar berhubung kes fitnah liwat 2 dan menyebabkan beliau hilang kelayakan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, 23 Mac ini. -Roketkini.com