Berita

PRK Kajang: Referendum tolak ketidakadilan – Wan Azizah

BANGI, 11 MAC: Calon Pakatan Rakyat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yakin memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, 23 Mac ini.

Beliau berkata, keyakinan itu lahir daripada sokongan tidak berbelah bagi daripada pemimpin dan penyokong PR yang tidak henti memberi semangat walaupun dihimpit pelbagai musibah ciptaan UMNO-BN.

“Saya berasa sungguh terharu melihat sokongan sebegini untuk PKR dan PR khusunya, ia memberi suntikan semangat baru untuk diterjemahkan kepada kemenangan.

“Dalam perhitungan di tanah yang tidak rata ini, apa yang paling penting adalah mencatat kemenangan, majoriti besar itu soal kedua. Saya mengharapkan doa dan sokongan daripada semua

Beliau turut menegaskan, PRK Kajang juga akan menjadi referendum rakyat untuk membantah keras kepincangan sistem kehakiman negara yang tidak adil terhadap pemimpin PR dalam kes Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh.

“Ia akan menjadi referendum kepada ketidakadilan yang berlaku dan kepincangan sistem kehakiman negara kita.

“Saya berharap pengundi Kajang menyokong saya dengan memberi mesej kuat iaitu menolak UMNO-BN secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ringkas di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi setelah secara rasmi diumumkan sebagai calon.

Antara pemimpin PR yang hadir memberikan sokongan ialah Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, Ketua Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY), Teo Kok Seong, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua.

SPR menetapkan hari mengundi awal adalah pada 19 Mac manakala hari mengundi biasa pada 23 Mac 2014.-Roketkini.com