Berita

DAP Perak kesal hukuman tidak adil ke atas Karpal

KUALA LUMPUR, 12 MAC: DAP Perak kesal dengan tindakan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman denda RM4,000 ke atas Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh kerana kenyataannya berhubung rampasan kuasa Barisan Nasional (BN) di Perak pada 2009.

Pengerusi Biro Dasar Awam DAP Perak, Howard Lee Chuan How berkata, Karpal hanya menggunakan kapasitinya sebagai peguam untuk memberi pandangan daripada sudut perundangan berhubung kes itu.

“Keputusan itu menunjukkan berleluasanya ketidakadilan di Malaysia dan bukan sekadar dalam sistem kehakiman.

“Karpal berjuang begitu lama untuk rakyat dan mengangkat martabat perundangan di Malaysia. Inikah balasan kepada beliau?” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, petang semalam.

Karpal didakwa mengikut Akta Hasutan 1948, selepas mengeluarkan kenyataan memetik Perlembagaan Persekutuan, bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Pada 20 Januari 2012, Mahkamah Rayuan memerintahkan Karpal membela diri selepas rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan beliau pada 11 Jun 2010.

Selain beliau, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak, antaranya bekas Menteri Besar, Mohammad Nizar (Changkat Jering) dan bekas Speaker, V Sivakumar (Tronoh) turut hadir ke mahkamah bagi menunjukkan sokongan.

Namun, kata Adun Pasir Pinji itu lagi, keputusan mahkamah itu pasti akan menambahkan semangat DAP untuk meneruskan perjuangan menegakkan keadilan di Malaysia.

“Dengan keputusan ini, ia pasti menaikkan lagi semangat DAP untuk terus berjuang menegakkan keadilan dan nilai yang kita perjuangkan sehingga menjadi realiti,” tambahnya. -Roketkini.com