Berita

BN diingatkan tidak bayar pampasan berlebihan, elak tarif air dinaikkan

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak membayar pampasan melebihi jumlah yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi bagi mengelak tarif air dinaikkan kepada rakyat Selangor.

Amaran itu dinyatakan dalam satu kenyataan oleh Jawatankuasa Khas berhubung penstrukturan semula isu air yang dianggotai Setiauasaha Publisiti DAP, Tony Pua; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, hari ini.

Katanya lagi, kerajaan juga diminta tidak menggunakan alasan ‘pengambilalihan wajib’ dan ‘kehilangan keuntungan pada masa hadapan’ untuk memberi pampasan berlebihan.

“Jumlah pampasan yang sesuai perlu diperoleh daripada formula yang dinyatakan dalam perjanjian konsesi. Melalui anggaran kami, nilai itu boleh serendah RM6.3 bilion dan tidak melebihi RM7.6 bilion seperti yang dinyatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam.

“Kerajaan BN tidak boleh lupa bahawa semakin rendah kos pengambilalihan, semakin rendah tarif air untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang memberi manfaat kepada 7.3 juta penduduk,” katanya lagi.

Pada 11 Mac lalu, kerajaan Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) akan dikuatkuasakan bagi meneruskan pengambilalihan.

Ia berikutan tiga syarikat konsesi; Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) menolak tawaran RM9.65 bilion kerajaan Negeri untuk membeli ekuiti syarikat.

Menurut kerajaan negeri, Seksyen 114 akta itu menjadikan bayaran keseluruhan dijangka berkurangan sebanyak RM2 bilion daripada tawaran asal.

Dalam pada itu, Pakatan Rakyat juga mengingatkan kerajaan Pusat supaya tidak sengaja melambatkan proses itu jika ingin meneruskan kelulusan projek Langat 2.

“Jika kerajaan Pusat melambat-lambatkan proses pengambilalihan, kerajaan negeri berhak menghentikan semua baki kelulusan untuk meneruskan projek Langat 2,” katanya lagi.

Lambat 5 tahun

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat turut mengalu-alukan kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili untuk menggunakan WSIA, kerana ia sudah dibangkitkan sejak lima tahun lalu.

“Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sudah meminta menteri yang bertanggungjawab untuk menggunakannya sejak Februari 2009, namun tidak diendahkan. Walaupun lambat lima tahun, ia lebih baik daripada tiada langsung.

“Ini adalah satu-satunya cara untuk mempercepatkan proses itu, kerana syarikat swasta hanya mementingkan keuntungan, seperti ditunjukkan mereka dengan menolak lima tawaran kerajan negeri,” katanya lagi. – Roketkini.com