Berita

Guru hina Hindu: Kerajaan usah diam, ambil tindakan tegas

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak boleh pilih kasih, sebaliknya harus bertegas dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang menghina agama mana-mana agama di negara ini.

Ketika mencelah perbahasan di Parlimen, Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar bertanya apakah tindakan yang akan diambil terhadap seorang guru sekolah menengah di Segambut yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan menghina penganut agama Hindu ketika sambutan Thaipusam, baru-baru ini.

Beliau berkata, guru berusia 35 tahun itu sudah direman selama empat hari untuk disoal siasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Bagaimanapun, katanya, yang menimbulkan persoalan adakah kertas siasatan itu sudah disiapkan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Mohd Hidayat yang menggunakan nama samaran Man Namblast telah menghina masyarakat Hindu apabila membuat kenyataan ‘puluhan ribu Syaitan berarak menaiki tangga Batu Caves’ di laman Facebooknya.

“Kenyataan guru berkenaan amat sensitif dan melukakan hati penganut agama Hindu di seluruh negara. Isu hangat ini disiarkan sebagai berita utama di beberapa media Tamil ketika itu. Perkara itu juga telah membangkitkan kemarahan pelbagai pihak termasuk orang bukan beragama Hindu dan kira-kira 180 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap guru berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di Parlimen, semalam.

Sivakumar yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP berkata, beliau mencelah perbahasan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz yang berhujah mengenai penyalahgunaan media sosial yang boleh mencetus kontroversi perkauman.

Menurutnya, penyalahgunaan media sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.-Roketkini.com