Berita

Speaker tolak usul bahas kajian semula Dasar Sumber Air Negara

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Ahli Parlimen DAP Kluang mengecam tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana menolak usul penangguhan mesyuarat untuk membahaskan kajian semula Dasar Sumber Air Negara (DSAN).

Dalam satu surat kepadanya, Pandikar Amin menyatakan perkara itu tidak perlu disegerakan dan kerajaan telah melaksanakan mekanisme jangka panjang ke arah penyelesaiannya.

Pada 11 Mac lalu, Chin Tong memohon usul menangguhkan mesyuarat mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) untuk merundingkan mengenai perkara itu yang membabitkan kepentingan orang ramai.

“Penolakan usul itu tidak boleh diterima kerana air adalah keperluan asas di mana kerajaan bertanggungjawab besar bagi memastikan keselamatan dan kelestarian bekalan kepada seluruh rakyat khususnya selepas pembentukan DSAN oleh Kabinet pada Mac 2012.

“Ia juga berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan Akta Perkhidmatan Industri Air pada 2006.

“Krisis air yang berlarutan mendatangkan kesan negatif terhadap ekonomi negara di samping mengancam kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Isu ini membabitkan kepentingan orang ramai dan harus dipertimbangkan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan itu menegaskan, penubuhan satu panel khas terdiri daripada pakar bebas perlu dilakukan dan tidak wajar dilambatkan kerana ia akan lebih mendatangkan masalah.

“Pakar bebas ini merangkumi bidang pengurusan air, sains iklim, ekonomi, sains alam sekitar dan Ahli Parlimen untuk mengkaji semula DSAN dan pelaksanaannya memandangkan hampir lima juta rakyat sekarang terpaksa hidu tanpa bekalan air yang mencukupi.

“Usul saya ini merujuk kepada pengkajian semula DSAN khususnya daripada aspek cabaran perubahan iklim, pengurangan air tidak berhasil (non revenue water) dan pendekatan pengurusan permintaan (demand management),” tegasnya. – Roketkini.com