Budaya

Mitos Amok Melayu Oleh Wahyudi Yunus

KASSIM Ahmad dalam satu temuramah mengkelaskan dua jenis Melayu. Pertama, Melayu yang terkenal dengan adat dan sopan santun. Kassim mengambil contoh sikap menjemput orang lain makan apabila hendak makan.

Ini rasanya semua orang pernah lalui atau dengar. Daripada ucapan “jemputlah makan sekali, saudara” hinggalah kepada yang lebih terkini seperti “eh makan lah, doh!”

Ayat berbeza, konteks sama; Melayu jenis gentleman.

Melayu jenis satu lagi, menurut Kassim Ahmad, Melayu yang apabila dalam keadaan terdesak akan mengamuk. Filem arahan Adman Salleh, ‘Amok’ (1995) mungkin contoh yang hampir menggambarkan Melayu jenis ini; “tersepit, tembok belakang, tak dak apa lagi, dia nanti alih… Dia mengamok.”

Dalam filem dokumentari Big Durian pula, pengarahnya Amir Muhammad memaparkan kisah prebet Adam. Yang mengamuk. Advance sikit. Guna M-16. Di tengah-tengah Chow Kit. Kejadian yang menyebabkan pelacur Lorong Haji Taib pun takut keluar.

Selain itu, kita disuapkan dengan kisah lain tentang fenomena ‘amok’. Mahathir Mohamad sendiri bercakap tentang hal ini dalam buku Dilema Melayu. Che Det percaya, ‘amok’ tidak lagi wujud. Salleh Ben Joned memetik petikan itu sebagai premis untuk skrip Amok Mat Solo.

Filem Taxi Driver (1976) Martin Scorsese memberi dimensi yang lain tentang ‘letusan jiwa’ atau apa yang kita gelar ‘amok’. Protagonis tak ‘kiok’, sebaliknya menjadi wira.

Mungkin semata-mata esentrik perkataan itu atau Thom Yorke betul-betul cuba menggambarkan sebuah ‘ledakan perasaan’. Perkataan ‘amok’ dalam salah satu lagunya, ketika ditanya, menjelaskan bahawa ia bererti ‘kegembiraan’, ‘perayaan’.

Di satu sisi, ‘amok’ adalah ekspresi. Tanpa amok, mungkin tak akan ada not-not Beethoven, lukisan Picasso, puisi-puisi Ibn Arabi.

Keluar sekejap dari dialektik banal. Kita pergi wad psikiatrik PPUM. Menara Timur. Aras 2. Seminggu saya ulang-alik di sana hantar makanan. Saya masih tidak boleh buat keputusan mana satu yang buat saya tertekan; kisah-kisah penghuninya atau lagu Miley Cyrus yang diulang hampir setiap sejam.

Tak perlu diceritakan semula kisah-kisah mereka di sini. Tak banyak beza dengan apa yang kita baca di suratkhabar setiap hari. Baca berita di suratkhabar macam baca cerpen Roald Dahl kot. Semua ada. Tragik. Sadistik. Dan bila fikir balik, orang seperti Wan Man, prebet Adam, Mat Solo atau Miley Cyrus ni ada kat mana-mana.

Mereka yang tersepit, terdesak, di belakangnya dinding, tak ada lagi tempat berundur. Mereka mengamuk. Cuma tak adalah semuanya pergi bunuh orang atau nyanyi lagu Wrecking Balls – yang mana sama kejamnya.

Ada semacam trend pemikiran sehala bahawa ia sebuah fenomena luar biasa yang berakhir dengan tragik. Dan ia dikaitkan terjadi pada orang Melayu. Mungkin kerana kamus Oxford mendefinisikan ‘amok’ sebagai “homicidal frenzy” dan mengaitkan asal-usul perkataan itu dengan orang Melayu. Biarlah orang dengan otak yang lebih cergas jelaskan.

Pusing belakang sikit, pada hikayat lama, kita ada Tuah dan Jebat. Saya pernah tanya kepada kawan-kawan, sekadar buang rasa bosan menunggu teh O suam di warung; bagaimana jika Tuah dan Jebat adalah orang sama dan Jebat hanyalah Tuah yang mabuk minum ketum?

Teh O suam mendarat atas meja. Soalan itu tenggelam bersama bunyi hon kereta yang lalu lalang. Pukul 5 petang. Waktu untuk berambus dari pejabat dan tiba di rumah secepat mungkin. Siapa tekan hon paling kuat dia sampai dulu. Teori Time-Saving-Bias. Buat benda bodoh untuk halang otak cerna konsep masa.