Sastera

Desperado Oleh Wahyudi Yunus

JAMAL berdiri di depan pintu rumahnya dan tertanya kenapa masih wujud manusia yang parkir kereta di tepi jalan sempit yang menyebabkan kesesakan 500 meter dari jalan masuk ke kawasan rumah sewanya.

Kalau Jamal seorang Zen, dia boleh fikir bahawa mereka tak tahu kewujudan kawasan parkir yang disediakan pihak pengurusan dan mereka mungkin tidak sedar tindakan itu menyusahkan orang lain.

Tapi Jamal bukan Zen. Jadi penjelasan yang Jamal dapat ialah kebanyakan manusia neurotik dan menganggap diri mereka adalah pusat semesta. Bahasa mudah, kebanyakan manusia perangai macam celaka.

Jamal seluk poket seluar, keluarkan gugusan kunci daripada poket sebelah kanan, kemudian menyuap satu daripadanya pada lubang kunci. Pintu terbuka, Jamal masuk dan terus melangkah ke sofa di ruang tamu. Jamal rebahkan badan, cuba lelapkan mata tapi udara malam itu terasa pengap dan berbahang.

Jamal bangun semula, melangkah ke balkoni dan membuka sliding door. Angin berhembus masuk membawa bersama debu daripada kawasan binaan seberang jalan. Jamal baring di sofa, tenung kipas di syiling. Kipas itu sepatutnya warna putih. Tapi debu yang menempek buat kipas itu seperti dicat hitam.

Kipas pegun. Ruang tamu masih gelap. Jamal cuba ingat kedudukan suis di rumahnya. Jamal tidak pernah betul-betul peduli kewujudan suis itu. Tiba-tiba Jamal teringat Laura. Jamal teringat Laura yang sibuk di dapur, berdiri di depan para menyediakan makan malam. Ruang tamu terang benderang dan TV dibiar terpasang dengan siaran ulangan rancangan ‘Friends’. Sekali-sekali Laura akan ketawa pada dialog tertentu.

Jamal teringat bau masakan dan ketawa Laura yang mengisi ruang tamu. Tapi malam itu tiada Laura atau masakan Laura. Minggu lepas Jamal hantar Laura ke lapangan terbang. Laura pergi bercuti dan Jamal tahu Laura tidak bercadang untuk pulang.

*****

Jamal rasa sesak nafas. Jamal geledah bakul kecil atas peti sejuk dan capai plastik ubat berisi tablet putih yang tertera namanya: Jamal Bin Saripuddin. Tulisan tangan itu sangat hodoh. Hanya doktor atau orang nama Jamal boleh baca.

Jamal telan dua biji, capai iPhone atas meja dan baring semula di sofa. Jamal menelusur senarai kenalan Whatsapp di iPhonenya. Jamal berhenti pada nama Heri dan mula menaip.

“Laura dah blah dengan mamat tu.”

“So?” jawapan balas yang diterima 27 saat kemudian.

“Aku rasa sunyi.”

“Pergi Brickfields,” balas mesej yang tertera nama Heri itu lagi.

Heri kawan Jamal. Heri bukan jenis kawan yang akan bawa kek coklat kalau kau masuk hospital. Heri jenis kawan yang bila kau keluar hospital akan kata: “Eh hidup lagi kau?”

Heri bukan kawan yang baik tapi Jamal percaya Heri tahu sesuatu. Heri tidur di bilik yang berbeza setiap malam bergantung kepada alamat perempuan yang bawa dia pulang. Heri ada semua yang perempuan mahu tapi Heri tak jumpa apa-apa yang dia perlukan daripada perempuan selain rutin pergeselan alat kelamin.

“Aku tak mahu pelacur,” balas Jamal, “Aku perlukan perempuan.”

“Cikgu biologi kau tak pernah bagitahu ke pelacur tergolong dalam jantina perempuan?”

“Aku ambil sastera kat sekolah. Tapi pointnya di sini, aku perlukan perempuan yang sayang aku macam aku sayang dia. Aku perlukan Cinta.”

Huruf ‘C’ besar datang daripada Jamal. Bukan penulis cerpen ini.

“Kau high ke apa ni?”

“Babi… aku serious ni…”

“Ok, kita serious. Kau kawan aku, kawan mesti tolong kawan. Aku tak berani guarantee benda ni jadi, tapi tak salah cuba,” tulis Heri dengan singkatan ejaan yang memerlukan kemahiran tinggi untuk faham.

“Tak mau buluh perindu, janggut adam, minyak tu semua.. Aku tak percaya semua tu,” balas Jamal.

“Ini lagi kick daripada buluh perindu, bro. Check emel kau kejap lagi. Aku ada bagi link.”

“Aku nak perempuan biasa-biasa. Tak perlu cun sangat, tapi janganlah bagi yang muka tak simetri. Pendek kata, yang sejuk mata memandang, bawak jalan pergi Pavillion boleh buat hidung kembang.”

“Jangan risau, kau pilih sendiri. Buka link yang aku bagi tu. Dah, aku nak keluar jumpa kawan. Apa-apa nanti update la.”

“Kau nak pergi jumpa betina mana pulak?”

“Hari Sabtu bro. Hari Sabtu Heri cuti dari perempuan. Sabtu hari solitude Heri. Bangla pun cuti apa hari Sabtu.”

*******

Jamal terlelap beberapa jam, bangun dan menuju ke dapur untuk menuang makanan Memot. Jamal jenguk bekas pasir Memot. “Ok lagi kot,” kata Jamal dalam hati melihat dua tompok tahi bersalut pasir yang ditimbus gaya kucing pemalas.

Jamal ada love-hate relationship dengan Memot. Setiap kali tengok Memot, Jamal terbayang Laura sedang menikmati pemandangan laut daripada bilik hotelnya sambil menikmati breakfast in bed. Laura ketawa pada jenaka lelaki berbulu dada lebat yang hanya berkemban tuala putih. Lelaki itu baring di sebelah Laura sambil mengunyah kacang.

Memot agak bijak untuk seekor kucing obes. Setiap kali Jamal tukar pelapik pasir dengan suratkhabar, Memot berak tepat di muka Yang Berhormat yang menjadi gambar tajuk muka depan. Kalau Memot bertanding sebagai Perdana Menteri, Jamal akan undi Memot.

Jamal masuk bilik, duduk depan komputer dan buka link yang dikirim Heri. Link itu membawa Jamal ke laman desperado.com, sebuah dating site terkenal. Jamal teringat Reza yang bertemu pasangan jodohnya di laman itu. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata dan mereka nampak gembira. Jamal tertanya berapa ramai orang macam Reza?

Selepas mengisi ruangan maklumat, Jamal muat naik gambar selfie- egoistikal-tapi-tidak-kelihatan-begitu-terdesak. Sejam kemudian Jamal terjumpa sebuah profile yang menarik perhatiannya.

**Salina. 27 tahun. Memerlukan lelaki yang serious dalam
hubungan dan berkerjaya. Cukup sihat tubuh badan dan mental.
Tak hensem sangat tak apa, asal sedap mata memandang.

Jamal salin nombor telefon dan terus mendail nombor yang tertera.

“Helo, I jumpa profile you dalam desperado.com. Nama I Jamal.”

“Oh, helo Jamal. I rasa you dah salah faham. Itu bukan profile I. Kawan I yang buatkan, dia saja nak kenakan I.”

“Tak apa, Salina. Kebanyakan hal dalam dunia ni bermula dengan salah faham. Apa kata you datang tempat I malam ni?”

“Err.. I tak rasa idea tu bagus. Lagipun dah lewat malam.”

“Jangan risau, I tak makan orang. I cuma nak berbual.”

“Hrm…”

“Ok, tak apa. I faham. You rasa benda ni pelik.”

“Alah.. macam inilah. You bagi alamat, I fikir dulu. Kalau I rasa nak datang, I datang.”

15 minit kemudian loceng pintu berbunyi. Jamal buka pintu. Salina berdiri di depan pintu memakai dress warna hitam. Jamal pelawa Salina masuk, dan menjemputnya duduk di sofa.

“Kopi?” tanya Jamal

“Okey. Kafein bagus untuk hilangkan rasa mengantuk.”

“Salina..,” Jamal bersuara dari dapur, “sedap nama tu. Pernah baca novel Salina?”

“Ada novel tajuk Salina?”

“Penulisnya sasterawan negara. Dia ada rambut putih, janggut putih. Dulu selalu muncul kat TV. Sekarang dah tak sebab dia buat KDN sakit kepala.”

“KDN tu apa?”

“Kementerian Dalam Negeri.”

“Oh,” balas Salina pendek sambil memerhati keadaan sekeliling.

“Ya, penulis tu terlibat dalam banyak protes jalanan. Kerajaan tak suka dia. Karya dia ditolak untuk dijadikan teks KBSM. Generasi akan datang mungkin tak akan kenal pun karya dia.”

Salina masih tak cakap apa-apa.

“Kenapa diam?” soal Jamal yang muncul dari dapur menatang dua cawan kopi panas.

“Tak ada apa-apa. I cuma tertanya kenapa rumah ni gelap dan kipas tu tak berpusing. You tak rasa panas?”

“Oh, pasal tu. I dah lupa kat mana suis.”

Salina senyum.

“Salina kerja apa?” soal Jamal sambil mengambil tempat duduk di sebelahnya.

“I chambering student kat law firm. Dua bulan lagi dapat lesen.”

“Wah, lawyer. Mencabar tu. Kena jumpa macam-macam jenis orang.”

“Tak jadi lawyer pun kena jumpa macam-macam jenis orang.”

“Betul, ya, betul. Salina tinggal dengan siapa?” soal Jamal sambil mendepakan tangannya dengan gesture seakan-akan sedang meregangkan otot lengannya sebelum mendarat di belakang bahu Salina. Tipikal betul.

“I tinggal dengan seorang minah dari Australia. Dia lecturer. Tapi kami tak rapat sangat. Setakat senyum angkat kening kalau terserempak depan pintu.”

“I rasa hubungan manusia sesama manusia ni mustahil. Kita dah tak dependent, tak perlukan satu sama lain pun. Semuanya dah jadi bisnes.”

Belum sempat Salina cakap apa-apa, Jamal peluk Salina dan cuba menciumnya. Tiga saat kemudian, ashtray kaca yang entah sejak bila ada di atas meja hinggap di kepala Jamal. Darah mengalir dari celah-celah rambut, turun ke telinga, pipi dan terus ke kemeja Padini putih yang dipakai Jamal.

“Pervert!” Salina jerit dan berdiri dari sofa.

“Habis tu, kau datang sini untuk apa, sundal?”

“Kau cepat sangat dan mulut kau busuk. Paling penting sekali, kau manusia paling membosankan aku pernah jumpa!”

Jamal masih menekap kepalanya dengan sapu tangan. Salina lesap di sebalik pintu. Jamal sempat tergelak melihat Salina bersungguh-sungguh untuk menghempas pintu sebelum keluar. Salina tak tahu apa-apa tentang sistem hidraulik yang dipasang pada pintu. Memot sudah terjaga dan sedang menikmati makanannya.-Roketkini.com