Berita

Kerajaan Johor wajar pertimbang wujudkan pusat jagaan kanak-kanak

YONG PENG, 16 MAC: Kerajaan Negeri Johor diminta mempertimbangkan penubuhan pusat jagaan kanak-kanak di setiap agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini bagi memastikan keselamatan dan keselasaan, selain dapat memberi lebih kemudahan kepada ibu bapa untuk memantau anak-anak kecil mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri Yong Peng, Chew Peck Choo berkata hal ini akan dibawa ke Sidang Mesyuarat Dewan Negeri yang akan datang.

Beliau bercakap kepada pemberita semasa program pemberian bunga ros bersempena dengan Hari Wanita Sedunia di Pasar Besar Yong Peng.

“Saya juga akan memohon kerajaan negeri untuk turut memberi subsidi kepada pusat asuhan kanak-kanak swasta (persendirian) bagi membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak kecil mereka,” ujarnya.

Difahamkan, harga semasa untuk pusat jagaan kanak-kanak swasta atau persendirian pada ketika ini mengenakan caj sekitar RM 200 – 350 seorang.

“Memandangkan kos sara hidup semakin tinggi, adalah wajar bagi kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan ini, di Selangor sudah ada Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Sikembar) yang mana kerajaan telah mewujudkan skim khas kepada taska khusus untuk meringankan beban tanggungan ibu bapa, ini contoh yang baik untuk dijadikan panduan,” tambah beliau.

Beliau yang juga Ketua Wanita DAP Negeri Johor, turut menambah bahawa masalah wanita pada zaman ini agak kompleks. Ramai wanita yang berkelulusan dari universiti terpaksa menjadi suri rumah kerana selain kos penghataran anak-anak ke pusat jagaan agak mahal, ibu juga bimbangkan tentang tahap keselamatan penjagaan anak-anak mereka dipusat jagaan.

“Wanita yang memasuki universiti sekitar 67 peratus jumlahnya, tetapi di pasaran kerja hanya ada kira-kira 40 peratus sahaja yang diisi oleh wanita, keadaan ini agak membimbangkan kerana wanita juga memainkan peranan penting dalam aspek ekonomi keluarga.

“Jika dibiarkan, kita yakin bakat dan potensi wanita yang berkelulusan tidak dapat digunakan untuk menjana ekonomi keluarga dan negara umumnya,” kata beliau. – Roketkini.com