Rencana

48 tahun DAP: Apa lagi DAP mau? – Oleh Izmil Amri

Ya tajuk itu cliche. Sejak digunakan sebagai tajuk utama akhbar pasca 505 hampir setahun lalu, soalan tersebut menjadi mainan, dan retorika mudah untuk dijadikan tajuk tulisan. Tapi soalan ini, meski cliche; tetap harus terus dipertanyakan. Ingat senang-senang DAP mahu dibiar hidup sampai 48 tahun tanpa soalan itu diulang sebut tahun demi tahun?

Namun barangkali soalan yang lebih mudah untuk dijawab ialah apa yang DAP tidak mahu. Parti tersebut mungkin banyak songehnya. Ada saja benda yang dia mau. Anda boleh lihat sahaja soalan-soalan yang ditanya oleh Ahli Parlimen DAP di Parlimen. Kemahuan DAP ini seolah-olah tiada berpenghujung.

Kalau kita tanyakan soalan tentang kehendak dan kemahuan DAP ini kepada pihak lawan, memang panjang berjela lah jawapan yang boleh diberikan. Antaranya termasuklah dakwaan mengarut kononnya DAP mahukan negara Kristian, komunis, negara orang Cina, atau mahu halau semua Melayu dari Pulau Pinang supaya ia boleh membentuk sebuah republik. Makan kangkung satu tan pun belum tentu penyakit bodoh ini hilang.

Tetapi berbalik kepada persoalan yang baru tadi disebut: apa yang DAP tidak mahu?

Partai Tindakan Demokratik lahir di tengah kemelut Malaysia sedang kalut mencari jatidiri bangsa, tiga tahun setelah tertubuhnya Persekutuan Malaysia dan kurang setahun sesudah Singapura dikeluarkan dari Persekutuan tersebut. Ya ia memang mempunyai sejarah dengan Parti Tindakan Rakyat, singkatnya PETIR – yang menjadi simbol People’s Action Party (PAP) Singapura sehingga hari ini.

Namun bezanya kedua parti ini ialah PAP berakhir sebagai sebuah parti kerajaan di Singapura, manakala DAP sehingga kini masih lagi merupakan sebuah parti pembangkang. Meskipun ia mengepalai Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Tetapi barangkali itu mahunya DAP, untuk memastikan kitaran demokrasi kekal seimbang. Menjadi kerajaan atau pembangkang bukanlah ‘end game’ DAP. Menjadi kerajaan tidak semestinya menandakan ‘kemenangan’ telah dicapai.

Justeru membawa kita untuk patah balek kepada persoalan kemahuan dan ketidakmahuan DAP.

DAP secara asasnya memperjuangkan demokrasi. Ini jawapan mudah yang payah orang kampung faham. Orang kampung akan tanya ‘demokrasi itu benda apa?’ Jadi DAP akan jawab, demokrasi itu kuasa rakyat. Orang kampung akan bertanya kembali ‘kuasa rakyat itu benda apa pula’. DAP barangkali akan menjawab ‘kuasa rakyat itu adalah kehendak untuk memilih siapa yang menjadi wakil bagi merangka dasar-dasar negara’.

DAP mahu rakyat sedar bahawa rakyatlah yang punya kuasa. Rakyatlah yang meletakkan sekian banyak Ahli Parlimen dan ADUN DAP di badan-badan legislatif demi memastikan kerajaan berfungsi dalam mengamankan rakyat dalam soal nyawanya, hartanya dan martabatnya.

Bagi memastikan kerajaan berfungsi dengan baik dalam soal pokok yang tiga itu, DAP justeru menentang keras korupsi. Orang kampung akan tanya, ‘korupsi tu benda apa?’. DAP akan jawab korupsi itu rasuah. Orang kampung akan tanya lagi, ‘rasuah tu apa’. DAP akan mungkin pula jawab, rasuah itu tindakan membeli maruah orang lain demi menyenangkan kerja pihak yang satu lagi.

Jadi itu dua asas mudah untuk menjawab persoalan kehendak DAP. Sejak penubuhannya, inilah dua perkara yang tidak lekang dari lidah pemimpin DAP. Dari dua perkara ini dicapahlah soal-soal keadilan, peluang saksama, kesepaduan kaum dan sebagainya. Ini yang sering disalahertikan pihak lawan sebagai mahu hapus hak Melayu, sedangkan yang mahu disebut puak-puak ini ialah ‘menghapuskan peluang Melayu UMNO untuk kaya-raya dengan membeli maruah orang supaya kerjanya jadi senang dan akhirnya menjadi masalah kepada orang lain’.

Baru sahaja semalam majalah The Economist menyenaraikan Malaysia di tempat ketiga dalam indeks kedudukan kapitalisme-kroni. Malaysia kalah dengan Rusia dan Hong Kong, tetapi mendahului Singapura yang jatuh tempat kelima. Kapitalisme-kroni ini skim memperkayakan sahabat handai dan saudara mara. Kaum pemodal saling bekerjasama untuk menjadi taikun dan pemerintah dan membolot kekayaan negara melalui projek yang diusahakan bersama rakan taulan dan adik beradik.

Pihak lawan DAP jadi panas hati apabila DAP melawan kronisme kerana seperti juga alasan yang tadi, ia membantut usaha memunggah kekayaan negara terhad kepada rakan-rakan yang sehaluan dan separti-politik. Kronisme lahir daripada budaya korupsi; setelah terlalu lama seseorang itu dibeli, maka jadilah kawan atau disebut juga kroni.

Supaya rakyat tidak dihimpit ‘ekonomi selimut singkat’ DAP melawan kelaziman dan kezaliman pemerintah menggunakan kronisme bagi memunggah kekayaan negara untuk diberikan kepada kawan-kawan dan sanak saudara.

Disebabkan perjuangannya yang ini maka ia terus difitnah hari demi hari oleh mereka yang takut dengan pendedahan DAP. Termasuklah fitnah-fitnah tidak cerdik seperti mendakwa DAP mahu mansuhkan institusi Raja-raja Melayu serta menukar negara menjadi sebuah negara sekular sehingga tak boleh diperdengarkan azan. Orang yang diasak dan takut kehilangan gaya hidup mewah memang boleh buat cerita macam-macam.

Sebagai ringkasan, DAP mahu kuasa dikembalikan kepada rakyat, pemerintah mesti bersih dan tidak rasuah dan rakyat harus dipelihara dan hidup aman tenteram dalam negara yang adil dan memberikan kesaksamaan kepada semua tanpa mengira latar kaum, agama dan kepercayaan politik. Apa yang DAP tidak mahu ialah kuasa berpusat kepada satu entiti atau organisasi dan rakyat tertindas dalam keadaan ia takut, melarat dan kacau bilau.

Sejak 1966, 48 tahun lalu; inilah dia kehendak DAP yang tiada berubah. Setiap kali parti ini bersidang, perkara-perkara ini diulang sebut dan menjadi zikir yang membasahi lidah-lidah pemidatonya di setiap kali ceramah, selain diperlihatkan dalam kerja buatnya hari demi hari berkhidmat kepada Bangsa Malaysia.

Selamat ulangtahun ke 48, Partai Tindakan Demokratik. – Roketkini.com