Berita

PRK Kajang: Buatkan BN kalah ‘hilang deposit’ – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menganggap Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang 23 Mac ini adalah kesempatan terbaik untuk pengundi mencatat sejarah dengan membuatkan Barisan Nasional (BN) kalah hingga ‘hilang deposit’.

Katanya, kekalahan itu sebagai bantahan keras kepada BN terhadap salah laku mereka selama mentadbir negara.

“Saya ingin sarankan pengundi Kajang supaya mencatat sejarah…tiada kesempatan yang lebih baik untuk menyebabkan calon BN hilang wang deposit pada PRK kali ini.

“(Maka) Saya merayu pengundi Kajang untuk mengundi bagi pihak 30 juta rakyat Malaysia dan mencatatkan keputusan ‘hampir mustahil’ ini demi empat tujuan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tujuan itu, katanya, adalah bagi menyuarakan bantahan terhadap keputusan mahkamah ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh; mengembalikan kepercayaan terhadap badan kehakiman dan menyelamatkan negara daripada pelbagai krisis seperti ekonomi dan pendidikan.

Sebelum ini, mahkamah memutuskan Anwar bersalah dalam kes fitnah liwat 2 dan Karpal pula berhubung kenyataannya mengenai rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada 2009.

Kedua-duanya berisiko hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika rayuan mereka ditolak.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, kejayaan itu bakal memberi kesan besar kepada negara, bahkan akan turut dirasai di peringkat antarabangsa.

“Ia akan menyebabkan gempa bumi politik di Malaysia, yang turut dirasai di peringkat antarabangsa.

Ini kerana ia melambangkan pengungkapan patriotisme dan nasionalisme pengundi Malaysia yang ingin selamatkan negara daripada ekstremisme, rasuah dan ketidakadilan, serta membuka jalan ke arah keadilan, kebebasan dan kemajuan bagi semua rakyat Malaysia,” tambahnya. -Roketkini.com