Rencana

Cabaran semakin sengit: 48 tahun usia DAP – Oleh Wan Hamidi Hamid

Hari ini DAP berusia 48 tahun. Tanpa sebarang sambutan besar, tanpa pesta meriah, parti yang hampir mencapai usia setengah abad ini terus berjuang demi rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Walaupun sering difitnah dan dimangsakan oleh pimpinan Barisan Nasional termasuk oleh konco-konco mereka seperti Utusan dan TV3, DAP tetap tulus dan telus membawa matlamat sosial demokrasi – kebebasan, keadilan dan solidariti.

Maka dengan itu, DAP hari ini lebih menumpukan kepada usaha membantu calon PKR bagi pilihanraya kecil Kajang, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, untuk membawa kemenangan kepada rakyat Malaysia yang dahagakan keadilan dan demokrasi.

DAP hari ini juga lebih menuju kepada usaha membantu PKR dan Pakatan Rakyat untuk memberi saingan hebat kepada BN dalam PRK Balingian di Sarawak. Memang agak sukar memembusi kubu BN yang hebat dengan taburan wang dan janji pembangunan, namun ia tidak menghalang usaha menyebarkan benih demokrasi dan hak saksama di bumi kenyalang.

Malah, pimpinan dan anggota DAP hari ini turut bersama jutaan warga Malaysia serta warga dunia mendoakan kembalinya pesawat MH370. Dengan iringan doa itu DAP kekal dengan prinsip, mendesak pihak berkuasa supaya lebih telus dalam usaha pencarian pesawat yang hilang itu; bukan dengan menjadikannya isu politik, bukan dengan cara memihak, bukan dengan cara pilih kasih.

Selama 48 tahun lamanya para pemimpin and ahli DAP menderita digasak, digodam dan ada juga yang digoda (dan terkulai dengan pujuk rayu BN). Dalam arena politik Malaysia di mana padangnya tidak rata – agensi dan jabatan kerajaan dikuasai parti pemerintah, media dikawal parti pemerintah, kuasa negeri dipayungi pemerintah pusat – sukar bagi pembangkang bernafas tanpa jerebu kezaliman.

Namun DAP walau disimbah pelbagai dugaan tetap cekal untuk meneruskan agenda Utamakan Rakyat Malaysia, terus bersemangat mengharungi usaha Jalan Tengah Malaysia dengan membawa bersamanya ideologi sosial demokrasi.

Terasnya kekal sejak 18 Mac 1966 hingga ke hari ini, yakni usaha ke arah mewujudkan masyarakat adil yang berpegang kepada prinsip demokrasi, hak saksama dan kebebasan, kesaksamaan gender dan semangat setiakawan.

Dengan nilai-nilai sedemikian, DAP menolak politik perkauman dan keagamaan yang sempit. DAP menghulurkan tangan kepada sesiapa saja yang ingin bersama untuk menjadikan Malaysia milik kita bersama – tanpa benci, diskriminasi, iri hati dan was-was.

Semoga lebih ramai yang sedar bahawa fitnah terhadap DAP hanyalah fitnah semata-mata, yang datang dari mereka yang takut kekuasaan mereka atas dasar perkauman akan menjadi tidak relevan pada suatu masa nanti. – Roketkini.com