Berita

Malaysia negara kapitalisme-kroni nombor satu di Asia Tenggara

JOHOR BAHRU, 18 MAC: Penolong Setiausaha Wanita DAP, Wong Shu Qi menggesa kerajaan membendung kapitalisme kroni yang semakin membiak demi kesejahteraan jangka panjang rakyat.

Beliau berkata, negara sekali lagi menerima tamparan hebat apabila isu terbaru mingguan ‘The Economist’ sekali lagi mengekalkan Malaysia di tangga ketiga pembabitan kroni dalam sektor ekonomi negara.

Menurutnya, ini sudah pasti satu lagi amaran kepada rakyat dan kepemimpinan negara bahawa Malaysia sememangnya tidak diuruskan melalui pembangunan ekonomi yang betul oleh Kerajaan BN.

“Malaysia menduduki tempat ketiga pada 2007, namun hari ini statistik kekal tidak berubah walaupun pelbagai program transformasi dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mengambil alih daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Maka, sudah tiba masanya ia perlu dibendung, sebelum rakyat dan negara menjadi mangsa dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Merujuk The Economist, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai itu turut menyatakan terdapat hampir 100 peratus jutawan Malaysia terbabit dalam ‘sektor kroni’.

“Sektor kroni termasuk kasino, arang batu, minyak sawit dan kayu, pertahanan, deposit perbankan dan pelaburan, infrastruktur dan saluran paip, minyak, gas, bahan kimia dan tenaga, pelabuhan, lapangan terbang, hartanah dan pembinaan, keluli, logam, perlombongan dan komiditi, utiliti dan perkhidmatan telekom.

“Kapitalisme kroni atau ‘rent seeker’ kapitalis dalam definisi The Economist adalah bukan saja tidak adil malah akan membawa keburukan dalam pertumbuhan jangka panjang.

“Sebagai contoh, harga hartanah melambung tinggi memperkaya ahli perniagaan yang mempunyai hubung kait dan bergantung kepada kelulusan projek. Penswastaan pula membolehkan jutawan ini memonopoli sektor tertentu atau memperoleh aset dengan harga lebih murah.

“Malaysia telah menswastakan lapangan terbang dan pelabuhan melalui perjanjian yang tidak adil apabila ia mewajibkan Kerajaan Persekutuan untuk terus membayar pampasan kepada syarikat lebuhraya serta tenaga subsidi,” ujarnya.

Katanya lagi, tidak ada negara lain dalam 20 ranking teratas mempunyai pembabitan kroni yang lebih besar oleh jutawan selain Malaysia.

Tambahnya, Malaysia juga kini adalah negara kroni kapitalisme nombor satu di Asia Tenggara. -Roketkini.com