Berita

Najib didakwa sembunyi maklumat pelaburan 1MDB kepada Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak didakwa menyembunyikan maklumat penting berhubung pelaburan kira-kira RM7.6 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kepulauan Cayman, melalui jawapan di Parlimen, 13 Mac lalu.

Menurut jawapan Parlimen Kementerian Kewangan, ‘1MDB telah melantik syarikat pengurus dana berlesen antarabangsa yang berdaftar di Kepulauan Cayman untuk tujuan pelaburan hasil pulangan ini’.

“Dengan hanya menyatakan ‘syarikat berlesen di Kepulauan Cayman’, ia tidak melegakan rakyat yang membayar cukai. Apa sebenarnya yang terlalu rahsia tentang pengurus dana itu, sehingga namanya kekal rahsia sulit dan tidak boleh didedahkan.

“Kedegilan berterusan Najib untuk menamakan dana, pengurus dan pemiliknya membuatkan pelaburan itu sangat meragukan,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataannya.

Beliau sebelum ini meminta Najib memberi penjelasan di Dewan Rakyat, berhubung status dan prestasi pelaburan misteri itu.

Pinjaman merugikan

Dalam jawapan Parlimen itu, dana RM7.6 bilion adalah pulangan daripada pelaburan usaha sama 1MDB dan Petrosaudi International Limited.

“Seperti dinyatakan, ia daripada pelaburan ‘Nota Murabaha’ dengan Petrosaudi. Ia beri jaminan pulangan tahunan 8.67 peratus sehingga 2021.

“Menteri Kewangan tidak menjelaskan kenapa 1MDB keluar daripada pelaburan yang jamin pulangan 8.67 peratus dan beralih kepada dana yang tidak dinamakan yang hanya jamin 5.67 peratus,” katanya.

Lebih teruk, katanya lagi, Najib juga tidak menyatakan bahawa 1MDB sebenarnya membuat pinjaman untuk pelaburan terbabit.

“Sebahagian besar dana diraih melalui pinjaman ‘sukuk’, dengan kadar faedah 5.75 peratus.

“Beliau juga tidak menyatakan bahawa sukuk itu dibuat dengan diskaun 12 peratus, bermakna 1MDB hanya terima RM87.92 bagi setiap RM100. Namun, 1MDB tetap kena bayar penuh. Maka, kadar faedah yang perlu dibayar adalah 6.71 peratus.
“Maknanya, 1MDB membuat pinjaman dengan kadar faedah 6.71 peratus untuk pelaburan yang membawa pulangan hanya 5.76 peratus,” katanya lagi.

Katanya lagi, pelaburan itu menyebabkan 1MDB menanggung kerugian tahunan 0.95 peratus iaitu RM70 juta.

Bagi mengelak kerugian teruk yang berterusan, beliau mendesak 1MDB mengeluarkan dananya daripada Kepulauan Cayman, dan menjelaskan hutang sukuk yang dibuat dengan jaminan kerajaan Pusat. -Roketkini.com