Rencana

Hanya ‘UBAH’ mampu membebaskan Malaysia daripada jerat pendapatan sederhana

Perutusan Ulangtahun ke-48 DAP oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada 18 Mac 2014 di Kuala Lumpur.

Di saat negara mendoakan keselamatan MH370 dalam suasana yang begitu suram, DAP tidak meraikan ulangtahun ke-48nya hari ini, kecuali melalui nota ringkas ini untuk mengiktiraf bahawa parti telah wujud sejak 18 Mac 1966. Hari ini, 48 tahun lalu, sekumpulan warga Malaysia yang patriotik telah berkumpul untuk membentuk Parti Tindakan Demokratik bagi melahirkan negara Malaysia yang adil dan saksama kepada semua tanpa mengira kaum, agama atau gender.

Sejak dari mula, DAP menghadapi perjuangan yang penuh dugaan kerana menentang rejim autoritarian yang bukan sahaja menindas ahli dan pemimpin parti malah melakukan manipulasi pilihan raya yang begitu meluas secara tidak bebas dan tidak adil, dengan kawalan dan sekatan media, penahanan tanpa bicara dan banyak lagi langkah-langkah yang menekan dan menindas.

Pemerintahan BN yang tidak tercabar dibantu oleh kawalan ketat terhadap media massa, yang mengingatkan kita kepada pentadbiran diktator komunis dan fasis serta taktik pemisahan kaum oleh rejim apartheid kulit putih Afrika Selatan. Pada zaman ini, apa sahaja cubaan oleh parti-parti pembangkang untuk bekerjasama membentuk perikatan politik yang kuat bagi mencabar pemerintahan Barisan Nasional akan diserang hebat oleh media arus perdana dan disifatkan sebagai anti-nasional, anti-Melayu atau anti-Islam dan dikalahkan serta merta.

Pun begitu, DAP tetap teguh melalui ujian dan tribulasi ini dan akhirnya muncul dengan jayanya dalam pilihan raya bersejarah tahun 2008 yang mengusung satu sistem dua parti dengan pembentukan rasmi Pakatan Rakyat. Justeru, keputusan Pilihan Raya Umum 2013 di mana Pakatan Rakyat menang 51% undi popular jelas menggambarkan bermulanya hari-hari terakhir BN, jika tidak segera pun, ia pastinya kian hampir.

Usaha DAP ke arah negara Malaysia yang adil dan saksama adalah berlandaskan kedaulatan undang-undang dan integriti kepimpinan yang menyediakan peluang untuk semua, berbanding kronisme yang mengaut kekayaan secara berterusan. Melalui prinsip urustadbir CAT (Cekap, Akauntabel, dan Telus) rakyat Malaysia bukan sahaja dapat membuat pilihan yang bermoral tetapi memilih masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

Sebagai rakan kongsi kuasa dengan parti komponen Pakatan Rakyat dalam perjuangan untuk mengakhiri pemerintahan kuku besi BN, DAP menumpukan ke arah pendemokrasian institusi negara dan menyediakan keadilan sosio-ekonomi dengan melaksanakan polisi yang mampan supaya kita dapat keluar dari jerat pendapatan sederhana dan memberikan kehidupan yang lebih baik. Sekiranya kita tidak keluar dari jerat pendapatan sederhana ini, Malaysia akan ikut tersangkut bersama 8 lagi negara di Timur dan Selatan Asia yang berada di lingkungan pendapatan per kapita US$1,036 – US$12,516 (RM41,502) seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, China, India dan Sri Lanka.

Secara asasnya, jerat pendapatan sederhana adalah suatu isu pentadbiran ekonomi di mana kelemahan dan kegagalan polisi BN telah membawa kemeruduman berperingkat dan akan berakhir dengan pembekuan standard kehidupan. Strategi pembangunan yang lebih inklusif dan mampan amat diperlukan, yang meligkupi pelaburan infrastruktur, penambahan inovasi melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), mempromosikan keusahawanan, melabur dalam modal insan dengan memberdayakan sistem pendidikan demi menghasilkan pekerja yang profesional dan berkemahiran tinggi, mengurangkan pendapatan yang tidak sekata, serta membanteras rasuah dan kronisme.

Edisi terbaru majalah The Economist menyenaraikan Malaysia sebagai negara dalam kedudukan ketiga dalam indeks kapitalisme-kroninya bagi tahun 2014, kedudukan yang sama sejak kajian tersebut dilakukan pada tahun 2007. The Economist menyatakan bahawa budaya ‘rent-seeking’ di abad ini membenarkan jutawan yang mempunyai kabel politik di seluruh dunia untuk menggandakan kekayaan mereka. Ini jelas kelihatan di Malaysia, di mana industri tenaga bebas, perbankan, pembinaan, gula, beras, air, pembetungan, pengurusan sisa pepejal dan syarikat konsesi tol lebuhraya berada dalam tangan-tangan beberapa syarikat kroni.

Hanya ‘UBAH’ mampu membebaskan Malaysia daripada jerat pendapatan sederhana.

Sambil kita menanggapi ulangtahun parti yang ke 48, adalah baik untuk kita beringat bahawa DAP akan berusia 50 tahun pada 2016. Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP telah memutuskan dalam mesyuaratnya pada Disember 2013 untuk membentuk jawatankuasa ‘50 tahun DAP’ (DAP at 50) diketuai Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, Sdr Liew Chin Tong untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai pergelutan parti dan bersiap-sedia untuk mengadakan acara bagi meraikan ulangtahun ke-50 ini. Lebih penting lagi, sambutan 50 tahun ini akan menjadi tapak pelancaran ke arah perubahan menuju Putrajaya dalam pilihan raya yang akan datang.