Berita

MH370: DAP desak Kabinet sokong usul tubuh Jawatankuasa Parlimen

KUALA LUMPUR, 21 MAC: DAP mendesak Kabinet agar menyokong usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung kehilangan pesawat MH370.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, jawatankuasa itu untuk menyokong operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370, serta komitmen untuk mengadakan siasatan penuh ke atas isu itu selepas operasi selesai.

“Saya baru sahaja hantar emel penting kepada Najib, agar Kabinet dalam mesyuaratnya esok (hari ini) setuju dengan pembentukan PSC untuk menyokong operasi SAR dan kesediaan untuk siasatan penuh selepas krisis selesai.

“Dalam emel itu, saya maklumkan usul yang dikemukakan (semalam) oleh Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke kepada Dewan Rakyat berhubung pembentukan PSC itu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pakatan Rakyat semalam menghantar notis usul kepada Dewan Rakyat, bagi membentuk satu PSC dwi-parti berhubung isu itu.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, ketika negara mengharapkan sokongan dunia dalam operasi yang membabitkan pelbagai negara, Parlimen Malaysia perlu menunjukkan perpaduan ketika berhadapan dengan krisis besar itu.

“Dalam emel itu, saya tegaskan bahawa Malaysia yang menerima kesan langsung daripada kehilangan MH370 bukan sahaja perlu memainkan peranan utama dalam SAR, malah dalam siasatan pasca operasi.

“Justeru PSC ini perlu dibentuk tanpa lengah, meskipun sekadar untuk persiapan sebelum siasatan penuh diadakan,” katanya.

Bagi menunjukkan komitmen Pakatan Rakyat terhadap PSC itu, beliau memberi jaminan bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan tetap menyokong penubuhannya, walaupun kerajaan ingin menubuhnya melalui usul daripada mereka sendiri.

“Jika kerajaan ingin tubuhkan jawatankuasa menerusi usul berasingan pada sidang Parlimen kali ni, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sedia menyambutnya dan sanggup menyokong cadangan alternatif sedemikian,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru usaha mencari dan menyelamat MH370, satelit milik Australia semalam mengesan dua objek di selatan Lautan Hindi, kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth.

Namun, pengesahan belum dibuat sama ada ia adalah serpihan pesawat itu. – Roketkini.com