Berita

Impian Sarawak: DAP lebih baik daripada BN, sediakan kemudahan asas

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Impian Sarawak yang dilancarkan DAP pada September 2013 adalah satu program untuk membekalkan kemudahan asas kepada penduduk kawasan pedalaman negeri itu, bukan sekadar strategi politik, kata Pengerusi DAP kawasan Serian, Edward Luak.

Beliau menyangkal tohmahan Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, Dr Jerip Susil kononnya Impian Sarawak hanyalah kempen DAP untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya.

“Jerip perlu tahu Impian Sarawak bukan satu ‘kempen’. Ia untuk bekalkan kemudahan asas kepada rakyat di pedalaman, yang sepatutnya dilaksanakan pentadbiran BN lama dahulu” katanya, dilaporkan Free Malaysia Today.

Beliau turut menolak dakwaan Susil bahawa dana yang digunakan untuk program itu adalah daripada kerajaan Selangor.

“Dana diraih di Selangor melalui program pencarian dana. Ia disumbangkan oleh rakyat Malaysia dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya yang menyifatkan Susil sebagai ‘tidak tahu apa-apa’.

Memetik laman Borneo Post 19 Mac lalu, Susil mendakwa DAP menggunakan Impian Sarawak untuk cuba ‘mengelirukan’ rakyat Sarawak dan sebagai strategi memenangi kerusi pada pilihan raya negeri 2016 ini.

Dalam pada itu, Luak berkata lagi, walaupun dengan kekayaan hasil bumi negeri itu, pentadbiran BN gagal membekalkan kemudahan dan infrastruktur asas kepada penduduk, khususnya di kawasan pedalaman.

Beliau memberi contoh tentang kegagalan BN menunaikan janji sebelum Pilihan Raya Negeri lalu untuk membekalkan air terawat terus ke rumah kepada 90 peratus pengundi di Serian.

“Pada awal 2012, satu pasukan yang diketuai Menteri Wilayah melawat Serian dan keluarka kenyataan bahawa 90 peratus penduduk akan menikmati air terawat pada tahun itu.

“Adakah Dr Jerip sedar bahawa sehingga kini, tidak sampai separuh kampung di Serian pun yang mendapatnya,” katanya lagi.

DAP Sarawak sebelum ini mengumkan bahawa tujuh projek di bawah program Impian Sarawak sudah dilaksanakan, manakala lima projek sedang berjalan dan lagi sepuluh dijadualkan bermula dalam masa dua bulan lagi. – Roketkini.com.