Berita

Gagal banteras rasuah, Paul Low didesak letak jawatan

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Ahli Parlimen DAP Kampar, Ko Chung Sen menggesa Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan meletakkan jawatan kerana beliau gagal menunjukkan peningkatan membanteras rasuah.

Katanya, Paul Low bukan saja gagal malah memberi impak negatif kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Paul Low dianggap lebih teruk daripada Menteri sebelum ini, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz. Beliau harus jujur dengan dirinya dan meletakkan jawatan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Gesaan itu berikutan kegagalan Paul Low dan SPRM dengan lebih agresif sepanjang lima tahun ini yang hanya merekodkan sebanyak 25.3 peratus kes rasuah yang dibuka.

Katanya, kerajaan sehingga kini hanya memperoleh kadar pulangan 4.9 peratus berasaskan perbelanjaan SPRM berbanding jumlah denda yang dikenakan ke atas pesalah.

“SPRM membelanjakan RM938 juta untuk operasi sejak 2008 sehingga 2013, tetapi hanya memperoleh denda daripada pesalah sebanyak RM48 juta dalam tempoh itu.

“Jumlah dakwaan dan sabitan juga amat menghairankan apabila 5,517 kes dibuka tetapi hanya 1,395 dikenakan tindakan,” ujarnya.

Menurut Chung Sen, walaupun Bajet 2013 menunjukkan peningkatan besar sebanyak 24.4 peratus iaitu lebih satu perempat daripada RM1 billion pada 2011, jumlah kes yang disabitkan turut menurun sebanyak 31.7 peratus.

“Jadi, SPRM bukan saja gagal menangkap jerung besar, malah ikan kecil pun turut terlepas,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau turut menyelar kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang gagal melunaskan janjinya untuk melawan rasuah.

“Sejak Najib mengambil peranan sebagai PM, rasuah bertambah teruk.

“Sekarang ini, seramai 90 peratus eksekutif korporat bersetuju bahawa rasuah adalah masalah utama dalam perniagaan di Malaysia,” katanya. -Roketkini.com