Berita

Pengundi Cina tak undi MCA, ramai mereka tak balik mengundi – Kian Ming

KUALA LUMPUR, 24 MAC: DAP menafikan dakwaan kononnya sokongan pengundi Cina kembali kepada MCA dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang, semalam sebaliknya ramai pengundi Cina tidak pulang mengundi.

Strategis Pilihanraya DAP, Dr Ong Kian Ming berkata, kurangnya jumlah undi yang diperoleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRK itu adalah kerana peratusan keluar mengundi yang rendah, bukan kerana undi mereka beralih kepada Barisan Nasional (BN).

Hanya 72% pengundi Kajang keluar menunaikan kewajipan masing-masing semalam. Setakat jam 2 petang, peratusan keluar mengundi hanya sekadar 40%.

Menurut Kian Ming, mereka yang tidak mengundi ini termasuk sejumlah 2,400 pengundi luar yang tidak pulang mengundi.

“Ramai antara mereka menetap di luar Kajang dan majoritinya masyarakat Cina yang bekerja di Johor dan Singapura.

“Mereka tidak akan pulang mengundi, terutama sekali kerana keputusannya tidak pun diragui,” kata beliau dilaporkan The Malaysian Insider.

PKR sememangnya dijangka mengekalkan kerusi DUN Kajang. Selain hal itu, PRK diadakan hanya sebulan setengah selepas sambutan Tahun Baru Cina menyebabkan pengundi luar tidak pulang ke Kajang.

“Kalau saya MCA, saya tidak akan terlalu yakin kerana pengundi luar ini semua orang muda dan cenderung mengundi Pakatan Rakyat,” tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang.

Beliau menganggarkan hanya 70% daripada sejumlah 16,000 pengundi Cina keluar mengundi, berbanding lebih 85% pada PRU ke-13 tahun lalu.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menewaskan calon BN yang juga Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi. – Roketkini.com