Berita

PR kecam tindakan kerajaan guna dana awam RM365 juta untuk halalkan GST

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Pakatan Rakyat (PR) mengecam tindakan kerajaan yang membelanjakan RM365 juta dana awam untuk perbelanjaan kempen dan iklan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menambahkan beban rakyat.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad, Kementerian Kewangan menyatakan kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM365 juta dalam melaksanakan GST yang berkuatkuasa April 2015.

Menurut mereka, RM365 juta itu merangkumi RM250 juta pada sistem perisian komputer baru, RM100 juta untuk latihan pengendalian perniagaan dan RM17 juta bagi pengiklanan serta publisiti.

Khalid bersama Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen PKR Batu Pahat, Idris Jusi mempertikaikan kewajaran perbelanjaan itu yang akan memberi impak negatif untuk jangka masa panjang.

“GST masih belum dilaksanakan dan kini mereka (kerajaan) sudah perlu membayar RM365 juta.

“Pelaksanaan GST ini akan membebankan rakyat, malah cara pelaksanaannya juga mengelirukan apabila skim yang dilakukan akan menambah ‘cukai’ kepada cukai yang sudah dikenakan,” katanya.

Zairil pula membidas dakwaan kerajaan bahawa GST akan membantu melancarkan kehidupan rakyat.

“Dakwaan itu tidak betul kerana tidak berasaskan realiti dan satu bentuk penipuan semata. Sebagai contoh, semua negara yang mengamalkan GST menghadapi masalah inflasi.

“Apa yang pasti adalah semua harga barangan asas akan meningkat kerana ada cukai baru dibuat atas penjual dan peruncit. Kanak-kanak beli gula-gula pun akan dikenakan GST.

“Pada saya, GST tidak diperlukan ketika kadar hutang isi rumah di Malaysia merupakan kedua tertinggi di Asia dan melebihi hutang semasa kerajaan,” tegasnya. -Roketkini.com