Berita

Saman Utusan tidak bermakna sekat kebebasan media – Steven Sim

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Prinsip kerajaan Pulau Pinang yang menghormati kebebasan bersuara dan media tidak bermakna mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah terlepas daripada undang-undang, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Beliau merujuk tohmahan Ketua Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen berhubung tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang beberapa kali membawa media ke mahkamah sebagai menyekat kebebasan media.

“You print, I sue (anda cetak, saya saman),” kata Chai yang merujuk kepada tindakan Guan Eng, seperti dipetik akhbar China Press.

“Sementara kita menghormati wartawan yang bergelut untuk mempertahankan integriti di bawah kawalan regim BN, kita juga perlu sedar bahawa media ada tanggungjawab moral untuk menyatakan kebenaran tanpa takut dan pilih kasih.

“Ketua Menteri tidak kebal daripada kritikan, tetapi pemfitnah juga tidak kebal daripada undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, menurutnya, keputusan mahkamah yang memihak kepada Guan Eng dalam dua saman fitnah terhadap akhbar UMNO, Utusan Malaysia pada 2011 dan 2012 menunjukkan tindakan itu adalah wajar.

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Disember 2011, yang menetapkan Utusan bersalah memfitnah Guan Eng dalam laporan bertajuk ‘Kebiadapan Guan Eng serta pada Jun 2012 dalam artikel bertajuk “Tiada Lagi DEB”.

Kata Setiausaha Publisiti DAP Negeri itu lagi, Guan Eng selaku warga Malaysia berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan, termasuk membuat fitnah jahat.

“Apatah lagi beliau sebagai Ketua Menteri kepada 1.6 juta warga Pulau Pinang, beliau bukan sekadar perlu bersih, malah dilihat bersih. Beliau berhak diberi gambaran yang tepat dan adil oleh media,” katanya lagi. – Roketkini.com