Berita

PRK Kajang: Undi Melayu kini bersama Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, kelmarin membuktikan Pakatan Rakyat semakin mendapat sokongan orang Melayu dan pada masa sama mengekalkan undi masyarakat Cina.

“Ucapan tahniah perlu dikalungkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana keputusan cemerlang yang dicapai itu.

“Walaupun peratusan keluar mengundi merosot kepada 72.1 peratus, namun beliau mencatat dua keputusan penting – MCA masih hancur dan sokongan orang Melayu kepada UMNO pula merosot,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Keputusan PRK Kajang menunjukkan Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 undi apabila mendapat 16,741 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun hanya 11,362.

Peratusan keluar mengundi pula merosot sebanyak 16.3 peratus, berbanding 88.4 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Pakatan Rakyat pasti mampu memperoleh majoriti lebih besar jika peratusan keluar mengundi Cina tidak merosot sebanyak 20 peratus iaitu 3,000 pengundi.

“Apatah lagi jika diambil kira kejayaan Dr Wan Azizah meningkatkan sokongan pengundi Melayu iaitu daripada 35 peratus pada PRU-13 lalu kepada 44 peratus pada PRK Kajang, kelmarin,” katanya lagi.

Peratusan undi Melayu kepada Pakatan Rakyat meningkat apabila menang dua daripada empat kawasan mengundi Melayu, iaitu Sungat Sekamat dan Taman Delima, di samping mengurangkan majoriti di Sungai Kantan dan Batu 10 Cheras.

Manakala keputusan undi Cina kepada MCA naik sedikit kepada 25 peratus, berbanding 18 peratus pada PRU-13.

Mengulas hal itu, beliau menyangkal dakwaan bahawa 25 peratus pengundi Cina yang memilih MCA menunjukkan peningkatan sokongan kepada parti itu.

“Jika pencapaian 25 peratus undi Cina tidak membuktikan MCA masih ‘hancur’, maka kita tidak tahu apa lagi bukti yang diperlukan,” katanya sinis. -Roketkini.com