Berita

MH370: Takziah kepada keluarga, PR tetap gesa kerajaan tubuh Jawatankuasa Parlimen

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Pakatan Rakyat hari ini mengucapkan takziah kepada ahli keluarga penumpang dan krew pesawat MH370, serta penghargaan kepada semua yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ia berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa pesawat MH370 ‘mengakhiri’ perjalanannya di Lautan Hindi.

Namun, kerajaan tetap perlu menjawab pelbagai persoalan yang timbul, termasuk daripada pengumuman itu.

Pada sidang media di Parlimen pagi tadi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu menyatakan bukti yang diperoleh untuk kesimpulan itu.

“Kami terima pengumuman itu pada permukaannya. Namun ia perlu dibuat dengan lebih telus. Apakah bukti yang dikemukakan untuk Najib buat kesimpulan itu? Kita tidak perlu gopoh untuk buat keputusan, siasatan masih diteruskan.

“Kami tidak mahu dituduh tidak prihatin derita dan perasaan keluarga, sebab itu kami mulakan dengan nyatakan keresahan bersama,” katanya.

Justeru, beliau mengulang kembali cadangan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung kehilangan MH370.

“Cara pengendalian (kes ini) daripada mula banyak menimbulkan persoalan. Kalau Najib dan Hishammuddin (Pemangku Menteri Pengangkutan) tak berlapang dada untuk terbuka dan bincang, lebih rumit (usaha) kita untuk pulihkan keyakinan masyarakat, terutama peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Memetik the Malaysian Insider, pengumuman Najib semalam berdasarkan makluman daripada Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.

Dalam pada itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ada kemungkinan ramai tidak dapat menerima sepenuhnya pengumuman semalam, berikutan tiada bukti konkrit.

“Takziah kepada semua…Ini adalah ‘pengakhiran (closure) tanpa pengakhiran’, kerana tiada bukti konkrit lain seperti serpihan dijumpai, hanya imej satelit,” katanya.

Beliau turut mengkritik Hishammuddin yang memesongkan (mislead) Parlimen semalam, apabila menyatakan siasatan berhubung kehilangan masih berterusan.

“Pada masa itu Hishammuddin sudah tahu mengenai pengumuman yang akan dibuat. Saya faham beliau tak boleh dedahkan kandungan pengumuman Najib, namun beliau tidak patut memesongkan Parlimen.

“Saya sangat marah dan tersinggung, sebab beliau dengan jelas menipu. Beliau perlu jelaskan sepenuhnya dan minta maaf kepada Parlimen,” katanya lagi. -Roketkini.com