Berita

MH370: Bawa pulang ‘Kebenaran’

KULAIJAYA, 25 MAC: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai kehilangan MH370, telah membuka satu lembaran baru dan perkembangan terbaru itu mengecewakan semua yang mengharapkan tragedi ini tidak berlaku.

“Ia bukan sahaja kehilangan satu pesawat, tetapi ia juga satu kehilangan besar bagi seluruh rakyat Malaysia dan kemanusiaan,” demikian luahan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dalam satu kenyataan medianya hari ini berkaitan pengumuman terbaru tragedi MH370.

Menurut beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP, adalah hampir mustahil untuk membawa kembali jasad penumpang dan anak kapal kepangkuan keluarga mereka, namun berharap kebenaran berjaya dibawa pulang untuk semua pihak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku terhadap pesawat malang itu.

Turut menyatakan kesedihan dan doa dalam tragedi ini ialah sekumpulan masyarakat di Yong Peng dalam satu acara ringkas bagi mendoakan yang terbaik buat semua mangsa MH370.

“Apa pun berita mengenai MH370, doa dan sokongan moral terus kita berikan kepada semua mangsa dan ahli keluarganya,” ujar Chew Peck Choo dalam menyatakan kesedihan dengan perkembangan terbaru itu.

“Semua insiden ini mendatangkan kebimbangan dan persoalan samada sistem dan langkah keselamatan pesawat MAS diselenggara dengan baik.

“Adalah penting bagi pihak MAS menjalankan siasatan terperinci demi memastikan keyakinan orang awam tidak terjejas terhadap syarikat penerbangan ini,” ujar beliau. – Roketkini.com