Berita

Isu MH370: Najib, kerajaan wajib mohon maaf pada keluarga Kapten Zaharie

KUALA LUMPUR, 25 MAC: DAP mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan memohon maaf terhadap tindakan keterlaluan menyalahkan juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah berhubung insiden pesawat MH370.

Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, untuk memulihkan maruah dan menghormati dedikasi tinggi mereka, Najib tidak boleh mendiamkan diri terhadap pelbagai serangan negatif yang dibuat sepanjang kehilangan pesawat itu, sejak 8 Mac lalu.

“Setiap inci kehidupan Kapten Zaharie kini disiasat. Polis juga mengambil simulator beliau, membuka dan meletaknya di Bukit Aman. Ahli keluarganya juga disoal siasat termasuk oleh FBI.

“Adakah kerajaan sudah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa dengan membuang serangan ke atas reputasi atau integriti beliau?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga kesal dengan tindakan kerajaan yang menjadikan Kapten Zaharie sebagai kambing hitam dalam tragedi MH370 apabila mengaitkan beliau dengan pelbagai andaian tidak masuk akal.

“Pesawat itu sememangnya terhempas ke dalam laut tetapi apa yang menyedihkan adalah cubaan menghubungkan peristiwa itu dengan cerita rekaan mengenai kecenderungan membunuh diri, fanatik dan lainnya.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan mahu mewujudkan satu kambing hitam dan percubaan jahat untuk menutup kelemahan sendiri.

Beliau juga bimbang dengan keluasan Lautan Hindi yang tentunya memakan masa lama untuk mencari pesawat MH370, ia sekaligus memberi ruang luas untuk lebih menaratifkan cerita rekaan mengenai Kapten Zaharie jika tidak segera ditangani.

“Sekarang, naratif rekaan ini berfungsi untuk meningkatkan syak wasangka bahawa MAS dan kerajaan cuba menyalahkan Kapten Zaharie serta juruterbang bersamanya.

“Tindakan meletakkan kesalahan ketika beliau tidak mampu mempertahankan diri adalah amat tidak berhati perut. Kerajaan dan Najib wajib menyatakan permohonan maaf segera,” tegasnya. -Roketkini.com