Berita

PR gesa kerajaan tubuh jawatankuasa bebas persempadanan pilihan raya

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Pakatan Rakyat (PR) menggesa satu jawatankuasa bebas dibentuk untuk mengendalikan persempadanan semula kawasan pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming; Ahli Parlimen PAS Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dan Ahli Parlimen PKR Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman dalam kenyataan bersama mereka berkata, ia perlu dilakukan berikutan keraguan rakyat terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada segi integriti dan kebebasan.

Pembentangan Tribunal Rakyat PRU-13 baru-baru ini, turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa yang sama untuk mengendalikan kawasan dan persempadanan pada masa akan datang.

“PR menyokong penuh cadangan ini pada premis bahawa integriti dan kebebasan semasa SPR sangat diragui.

“Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri mengakui beliau menjalankan kawasan persempadanan untuk mengekalkan kuasa Melayu dan bukannya berlandaskan prinsip perlembagaan.

“Jadi, kami menyeru kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa bebas seperti ‘Boundary Commissions’ (Suruhanjaya Sempadan) di United Kingdom jika mereka benar-benar ikhlas untuk memastikan persempadanan tidak berat sebelah dan adil,” kata mereka.

Menurut mereka, fungsi SPR yang mana akan berpecah kepada tiga mengikut cadangan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen lebih sesuai dengan penubuhan jawatankuasa bebas.

Jelasnya, jawatankuasa bebas itu kelak akan diterajui oleh orang awam, ahli akademik, hakim dan peguam yang pakar dalam pembahagian pilihan raya.

“PRU pada masa depan akan menjadi paling kontroversi dalam sejarah negara kerana sebarang penambahan bilangan kerusi Parlimen memerlukan pindaan perlembagaan yang memerlukan persetujuan Ahli Parlimen daripada PR.

“Sebarang penambahan kerusi di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor pula memerlukan pindaan perlembagaan negeri. Adun PR terdiri daripada lebih 2/3 di tiga negeri berkenaan.

“Penambahan kerusi di Terengganu, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan juga memerlukan pindaan perlembagaan dengan persetujuan PR kerana Adun kami membentuk 1/3 di negeri ini,” ujarnya. -Roketkini.com